M update, 03/10/2024 – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sentiasa memastikan hak pembayar cukai terbela dan dilindungi sepanjang berurusan bagi memastikan sistem percukaian yang berkesan, adil dan saksama.
Hak pembayar cukai untuk mengetahui maklumat percukaian sering dijelaskan secara umum menerusi pelbagai platform hebahan dan penyampaian maklumat percukaian sedia ada, seperti di laman web rasmi LHDN www.hasil.gov.my.
Selain itu, LHDN turut menghantar surat atau notis ke alamat terkini pembayar cukai untuk makluman status percukaian mereka. Sebab itulah, pembayar cukai perlu maklumkan alamat terkini mereka kepada LHDN, sama ada secara dalam talian menggunakan e-Kemaskini di Portal MyTax atau secara bertulis.
Orang ramai juga boleh menyemak status kedudukan cukai terkini selain status sekatan perjalanan menerusi Portal MyTax dalam memastikan perancangan cukai mengikut panduan perundangan yang betul bagi memastikan pembayar cukai tidak dikenakan tindakan undang-undang.
Pegawai Perhubungan Awam Cawangan Guaman Lembah Klang (CGLK) LHDN, Nur Syazwani Hamzah, berkata, LHDN pada tahun ini akan memberikan tumpuan kepada kategori dan tingkah laku pembayar cukai dalam usaha mengubah persepsi orang ramai terhadap hal ehwal percukaian dan LHDN.
Selain memperkasakan undang-undang percukaian sedia ada, katanya, LHDN turut menggalas peranan mendidik masyarakat melaksanakan tanggungjawab sebagai pembayar cukai secara sukarela.
Katanya, masih terdapat masyarakat dan pembayar cukai yang melihat agensi itu sebagai entiti yang ditakuti, sekali gus membantutkan usaha mewujudkan persekitaran pematuhan yang maksimum.
Menurut Timbalan Pegawai Perhubungan Awam CGLK LHDN, Ahmad Qayyum Razzirullah Ahmad Effendi, tindakan undang-undang langkah terakhir akan diambil dalam usaha memastikan pembayar cukai mempunyai tahap pematuhan tinggi.
Katanya, tindakan undang-undang hanya diambil sekiranya pembayar cukai masih gagal mematuhi undang-undang percukaian setelah pelbagai usaha dijalankan oleh LHDN untuk mengingatkan individu atau syarikat terbabit.