M Update, 23/10/2024 – Perkara berkaitan rumah tumpangan dan pemalaman, termasuk kawal selia tatacara operasi premis berkenaan berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, bukan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482) memperuntukkan keperluan pendaftaran premis penginapan pelancong, termasuk hotel tetapi kawal selia dan penguatkuasaan operasi hotel bukan di bawah kementerian itu.
Menurut Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, berkata MOTAC akan berbincang dengan kerajaan negeri, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta pihak berkuasa tempatan (PBT) berhubung kewajaran memasukkan peruntukan mengenai pemberian lesen dan kawal selia tatacara operasi hotel ke dalam Akta 482.
Selain itu, MOTAC akan berbincang dengan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam menyelesaikan isu merangkumi pengambilan pekerja dalam sektor perhotelan bagi memastikan standard dan perkhidmatan premis penginapan pelancong sentiasa tinggi.
Beliau menjawab soalan asal Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (PN-Bukit Gantang) sama ada kementerian mengambil serius dengan memantau lebih dekat isu penetapan waktu daftar masuk dan keluar oleh pengusaha hotel, susulan rungutan kebimbangan orang awam mengenai ketidakadilan hotel tempatan yang sewenang-wenangnya mengubah waktu daftar masuk dan keluar hotel.