
M Update, 06/10/2025 – Konsulat Jeneral Malaysia di Istanbul menjangkakan 23 sukarelawan Malaysia yang terbabit dalam misi Global Sumud Flotilla (GSF) dapat terbang pulang ke tanah air, seawal-awalnya hari ini.
Konsul Jeneral Malaysia di Istanbul, Ahmad Amiri Abu Bakar, berkata semua proses yang diperlukan bagi membawa mereka pulang sedang dilaksanakan sebaik mungkin bagi memudahkan urusan berkenaan.
“Mereka semua dalam keadaan yang baik dan sihat. Kami berharap dapat terbang secepat mungkin. Hari ini tak …harap esoklah (Isnin),” katanya.
Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan semua sukarelawan Malaysia dalam GSF sudah bebas dan dibawa ke Istanbul, Turkiye.

Semua 23 sukarelawan Malaysia itu ditahan pihak berkuasa Israel, Khamis lalu sebelum dibawa ke penjara Ketziot, yang terletak di padang pasir Negev.
Pada masa sama, ketika ditanya sama ada dokumen penting milik sukarelawan Malaysia itu dirampas, Ahmad Amiri bagaimanapun berkata, mereka masih mempunyai pasport.
“Pasport semua ada, kalau tiada kami akan selesaikan juga,” katanya.
Ahmad Amiri berkata, walaupun semua sukarelawan yang tiba di Istanbul kelmarin, berada dalam keadaan sihat, mereka kelaparan kerana tidak diberikan makanan sepanjang berada dalam tahanan Israel.
Beliau berkata, semua daripada mereka juga tiba sehelai sepinggang dengan baju tahanan.
Katanya, mereka kemudiannya disajikan menu masakan Melayu iaitu nasi putih, ayam goreng kunyit, sambal belacan dan rojak buah.
“Masa sampai hampir semua kelaparan. Tidak makan di Israel dan hanya minum air tandas. Sampai di hotel, kami sediakan makanan nasi Melayu,” katanya.
Selain itu, Ahmad Amiri berkata, pihak konsulat juga membuka pejabat hari ini bagi memudahkan semua sukarelawan untuk berhubung dengan keluarga masing-masing.
“Hari inipun kami akan sediakan makan tengah hari di pejabat kami. Kami buka pejabat hari ini untuk mereka guna komputer. Semalam kami bawa mereka beli barang keperluan,” katanya. -BuletinTV3