
M Update, 06/02/2026 – Kerajaan negeri Johor mengesahkan penularan penyakit Tuberkulosis (Tibi) membabitkan murid sekolah di daerah Kota Tinggi berada dalam keadaan terkawal serta dipantau rapi oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Exco Pendidikan dan Penerangan Johor, Aznan Tamin berkata, setakat ini pihak berkuasa kesihatan tidak mengeluarkan sebarang arahan untuk menutup sekolah yang terlibat.
Beliau berkata, hasil saringan kontak rapat yang dijalankan KKM mendapati enam murid disahkan dijangkiti Tibi, membabitkan empat murid lelaki dan dua murid perempuan.
Menurutnya, kesemua murid berkenaan telah diarahkan menjalani kuarantin dan menerima rawatan sewajarnya serta kini berada di bawah pemantauan rapi KKM mengikut prosedur kesihatan yang ditetapkan.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat tidak sahih atau berita palsu berkaitan isu berkenaan kerana ia boleh mencetuskan kebimbangan dan panik dalam kalangan masyarakat.
Sebarang maklumat rasmi hendaklah dirujuk kepada kenyataan KKM atau saluran rasmi kerajaan negeri.