Input your search keywords and press Enter.

Waspada Scammer Ketika SARA, Perayaan – Fahmi

M Update, 09/02/2026 – Orang ramai diingatkan sentiasa berwaspada terutama menjelang musim pemberian bantuan dan perayaan kerana menjadi sasaran mudah scammer.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, ini kerana pemberian SARA dan sambutan Tahun Baru Cina serta Hari Raya Puasa tahun ini berlaku dalam jarak masa dekat.

Beliau berkata ibu bapa kebiasaannya akan mengeluarkan perbelanjaan lebih bagi persiapan harian, keperluan hari raya, pemberian ang pau serta pembelian barangan perayaan. Sehubungan itu, orang ramai diingatkan supaya lebih berwaspada kerana sindiket penipuan dijangka aktif mengambil kesempatan pada musim berkenaan.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak menekan sebarang pautan yang diterima menerusi Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.

Dalam pada itu Fahmi memaklumkan, pihak MCMC telah menetapkan SMS rasmi tidak akan mengandungi sebarang jenis pautan.

Justeru, beliau mengingatkan, sekiranya orang ramai menerima SMS sedemikian, ia bermaksud scammer berada berhampiran lokasi mangsa dan menggunakan ‘fake base station’ untuk menghantar mesej penipuan untuk memperdaya mangsa.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada agar tidak menjadi mangsa penipuan, selain memaklumkan bahawa National Scam Response Centre (NSRC) sedia membantu sekiranya kejadian tersebut berlaku.

Menurutnya, dengan pembukaan pejabat baharu serta penambahan anggota, NSRC kini beroperasi 24 jam bagi menerima panggilan orang ramai.

Beliau turut menjelaskan bahawa laporan yang dibuat dalam tempoh 30 minit selepas kejadian dapat membantu pihak berkuasa menahan aliran keluar wang serta meningkatkan peluang untuk mendapatkan semula wang mangsa. – Sinar Harian