
M Update, 23/02/2026 – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa Kabinet akan membincangkan secara lanjut isu tarif yang dikenakan Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat ini.
Menurut beliau, kerajaan akan memberikan maklum balas rasmi selepas perbincangan tersebut. Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa bersama Perdana Menteri serta pelancaran program Rakan Masjid X Rakan Muda Ramadan semalam.
Beliau mengulas mengenai keputusan Mahkamah Agung Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat lalu yang membatalkan sebahagian besar langkah tarif diperkenalkan sebelum ini, selepas memutuskan bahawa Presiden AS tidak mempunyai kuasa di bawah undang-undang negara itu untuk melaksanakan tarif menyeluruh secara unilateral.
Susulan keputusan tersebut, Donald Trump dilaporkan menyatakan hasrat untuk mengenakan tarif baharu sebanyak 10 peratus ke atas negara-negara di seluruh dunia dengan menggunakan peruntukan kuasa baharu, selepas kempen cukai import globalnya dibatalkan mahkamah.
Anwar yang juga memegang portfolio Menteri Kewangan memaklumkan bahawa Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sedang meneliti isu berkenaan ketika ini.
Menurut beliau, MITI turut menyelaraskan perbincangan dengan pihak berkepentingan termasuk di Washington serta negara-negara rakan di Asia Tenggara bagi menentukan langkah dan pendirian seterusnya.