
M Update, 27/02/2026 – Polis Kedah menahan tujuh individu bagi membantu siasatan berhubung insiden tembakan membabitkan seorang komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di Bukit Kayu Hitam, awal pagi Rabu.
Ketua Polis Kedah, Adzli Abu Shah memaklumkan kesemua suspek diberkas menerusi empat serbuan berasingan yang dilaksanakan Bahagian Siasatan Khas (D9), Jabatan Siasatan Jenayah IPK Kedah pada hari sama.
Operasi yang berlangsung antara jam 10.30 pagi hingga 6 petang itu menyaksikan penahanan enam lelaki tempatan dan seorang wanita warga Thailand berusia antara 22 hingga 52 tahun.
Siasatan mendapati, enam lelaki dan seorang wanita yang merupakan isteri kepada salah seorang tangkapan itu tinggal berdekatan lokasi kejadian dan mengenali antara satu sama lain.
Hasil semakan juga mendapati empat daripada tangkapan itu mempunyai rekod jenayah lampau yang melibatkan jenayah berat,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah pada Jumaat.
Beliau berkata, siasatan lanjut turut mengesan kesan gunshot residue (GSR) pada dua daripada suspek yang ditahan walaupun senjata yang digunakan itu masih belum ditemui buat masa ini.
Jelasnya, kesan GSR itu juga turut dikesan pada kunci dan topi keledar motosikal yang dipercayai digunakan ketika melakukan jenayah berkenaan.
Tambahnya, ujian saringan awal air kencing mendapati lima daripada suspek positif dadah jenis ketamin manakala seorang lagi positif methamphetamine.
Menurutnya, kesemua suspek ditahan reman antara dua hingga empat hari untuk siasatan lanjut, manakala wanita berusia 30-an itu pula ditahan reman selama 14 hari dibawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 bagi menyiasat ketulenan dokumen pengenalan diri miliknya.