
M Update, 11/03/2026 – Seramai 164 rakyat Malaysia yang terkandas di zon konflik Asia Barat dijadualkan tiba di tanah air pada Rabu melalui operasi evakuasi rakyat Malaysia yang diselaraskan kerajaan.
Turut bersama dalam penerbangan itu ialah lima warga Thailand, yang merupakan ahli keluarga kepada rakyat Malaysia, serta seorang warga Indonesia, menjadikan jumlah keseluruhan 170 penumpang.
Kesemua mereka dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 11 pagi menaiki pesawat sewaan khas Malaysia Airlines.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Krisis Negara, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Fauzan Amin Misnon, berkata mereka dibawa pulang dari Arab Saudi (Jeddah), Syria, Jordan dan Qatar (Doha) hasil kerjasama rapat dengan perwakilan diplomatik Malaysia.
Menurutnya, semua penumpang pulang secara sukarela selepas mendaftar melalui sistem dalam talian yang disediakan oleh Kementerian Luar Negeri (KLN).
Beliau berkata keadaan semua penumpang adalah stabil, namun dua individu memerlukan perhatian perubatan susulan masalah kesihatan.
Operasi itu dilaksanakan atas arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagi memastikan keselamatan serta kebajikan rakyat Malaysia di kawasan konflik sentiasa terjamin.
Sumber: Bernama/Berita RTM