
M Update, 12/03/2026 – Kebakaran hutan bukit di Taman Puncak Jalil, Seri Kembangan yang sebelum ini dilaporkan melibatkan hampir satu hektar kawasan berjaya dipadam sepenuhnya pada awal pagi Khamis.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, operasi pemadaman ditamatkan pada 3.48 pagi selepas api berjaya dikawal sepenuhnya.
Menurutnya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 4.12 petang Rabu, sebelum jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat Seri Kembangan tiba di lokasi kira-kira sembilan minit kemudian.
Pada peringkat awal, kebakaran berhampiran Plaza Tol Putrajaya di Lebuhraya KL–Putrajaya (MEX) dianggarkan melibatkan sekitar dua ekar kawasan. Bagaimanapun, api terus merebak sepanjang operasi pemadaman sehingga keluasan keseluruhan mencecah kira-kira 37 ekar.
Operasi pemadaman turut melibatkan anggota dari BBP Cyberjaya, Puchong, Jalan Penchala dan Subang Jaya. Kerja memadam api dilakukan menggunakan beberapa aliran hos, pancutan pam jentera serta peralatan pemukul api bagi menghalang kebakaran daripada terus merebak.
Operasi juga dibahagikan kepada enam sektor utama bagi memudahkan kawalan di kawasan berbukit yang sukar diakses, selain penggunaan dron untuk pemantauan dari udara.
Seramai 27 anggota bomba terbabit dalam operasi tersebut dan tiada mangsa atau kerosakan struktur dilaporkan. Pihak JBPM Selangor memaklumkan pemantauan susulan akan diteruskan bagi memastikan tiada sisa kebakaran yang boleh mencetuskan api semula.