M Update, 5/11/2019 – Wanita dan individu yang menjadi mangsa keganasan rumahtangga digesa merekod dan mengumpul bukti kejadian itu serta melaporkannya kepada polis.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata adalah tidak wajar menyembunyikan perbuatan berbentuk jenayah yang mereka hadapi, semata-mata kerana mahu mengekalkan rumah tangga.
“Saya menyeru semua wanita supaya tahu hak masing-masing, dan ambil tindakan merekod setiap kejadian, menyimpan semua bukti dan melaporkan kes kepada polis.
“Memang kita sayang rumah tangga dan mahukan perkahwinan kekal bahagia, namun tak usahlah bertahan dengan apa-apa perlakuan jenayah untuk masa depan kita, memandangkan ada yang hilang nyawa kerana jadi mangsa.
“Tidak kira sama ada seseorang wanita itu bekerja atau tidak, mereka perlu berani membuat keputusan menyelamatkan diri. Keganasan rumah tangga ini memang tidak patut berlaku,” katanya.
Beliau mengulas laporan BH mengenai pendedahan Pengarah Eksekutif Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) Malaysia, Sumitra Visvanathan, bahawa pelaku keganasan rumah tangga kini tidak lagi tertakluk pada kelompok bermasalah dan penagih dadah, namun menjalar kepada golongan profesional seperti doktor dan peguam.
Faktor utama lelaki berpendidikan bertindak demikian, juga bukan lagi disebabkan masalah kewangan, tetapi lebih kepada rasa ego dan mahu menunjukkan kuasa lelaki kepada pasangan mereka.
Semalam, sebuah akhbar melaporkan sebanyak 4,277 kes keganasan rumah tangga direkodkan di seluruh negara sejak Januari hingga September lalu, dengan mangsa paling ramai adalah wanita muda bekerja dalam sektor swasta, menyebabkan mereka mengalami masalah kesihatan mental kronik. Daripada jumlah itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima lebih 1,600 kes keganasan rumah tangga membabitkan mangsa berusia antara 25 hingga 35 tahun.
Dr Wan Azizah menegaskan, ketika ini, masih ada mangsa keganasan rumah tangga yang awalnya melaporkan kejadian kepada polis, namun kemudian menarik balik laporan berkenaan.
“Ini perkara yang amat merunsingkan. Memang sejak dulu, keganasan rumah tangga tidak terbatas pada status pekerjaan individu, sebaliknya ia adalah masalah mental yang menyebabkan seseorang hilang pertimbangan dan bertindak sedemikian,” katanya.
Mengulas langkah kerajaan menangani isu itu, Timbalan Perdana Menteri menjelaskan, pihaknya bakal menubuhkan Jawatankuasa Menangani Keganasan Rumah Tangga bagi memantau dan menyelaras usaha menangani kes keganasan rumah tangga, antara agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO).
Kita juga bekerjasama dengan WAO bagi melaksanakan bengkel Komuniti Selamat, selain menambahbaik pelaksanaan garis panduan ‘One Stop Crisis Center’ di Jabatan Kecemasan dan Trauma Kementerian Kesihatan.
“Kita juga mahu perbaiki kursus perkahwinan untuk menekankan aspek tanggungjawab suami dan isteri, seperti kata Nabi, orang yang baik adalah mereka yang baik kepada keluarganya,” katanya.
Sumber : BH Online