Input your search keywords and press Enter.

Banjir Kedah Makin Buruk

M Update, 20/09/2024 – Situasi banjir di Kedah semakin buruk apabila jumlah mangsa yang ditempatkan di 36 pusat pemindahan sementara (PPS) mencatatkan peningkatan kepada 6,087 orang setakat jam 7.30 pagi tadi.

Jumlah mangsa yang ditempatkan di PPS itu membabitkan 1,942 keluarga di tujuh daerah, meningkat berbanding 5,483 mangsa daripada 1,726 keluarga yang dilaporkan jam 11 malam tadi.

Ini berikutan, tiga lagi PPS dibuka untuk menampung jumlah mangsa yang selain bertambah ketika ini.

Berdasarkan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan, daerah Kota Setar terus mencatatkan peningkatan jumlah mangsa yang berpindah ke 11 PPS iaitu seramai 2,424 mangsa daripada 821 keluarga berbanding 2,305 mangsa daripada 789 keluarga malam tadi.

Dalam pada itu juga, sebuah lagi PPS dibuka di daerah Pokok Sena menjadikan jumlah keseluruhan lima PPS di daerah itu berbanding empat PPS sebelum ini yang menempatkan seramai 925 mangsa daripada 285 keluarga berbanding 855 mangsa daripada 247 keluarga.

Dalam pada itu, daerah Pendang juga mencatatkan peningkatan mangsa kepada 806 orang daripada 221 keluarga berbanding 706 mangsa dari 192 keluarga selepas sebuah lagi PPS dibuka semalam menjadikan lima PPS beroperasi setakat ini.

Berdasarkan laporan melalui laman web Public Infobanjir, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menunjukkan enam sungai di negeri ini masing-masing tiga di daerah Kota Setar dan Kubang Pasu masih kekal melepasi tahap bahaya setakat jam 7.30 pagi tadi.

Semua mencatatkan trend menaik menyebabkan bilangan mangsa banjir bertambah di dua daerah itu.

Tiga sungai di daerah Kubang Pasu iaitu Sungai Padang Terap di Kepala Batas, Sungai Bata dan Sungai Laka di Kampung Padang Pasir masih melepasi tahap bahaya ketika ini.

Tiga sungai di daerah Kota Setar iaitu Sungai Anak Bukit di Taman Aman, Sungai Anak Bukit di Jambatan TAR dan Sungai Kedah di Jambatan Lebuhraya di daerah Kota Setar juga turut melepasi tahap bahaya.