M Update, 17/01/2025 – Seramai 107 kanak-kanak yang dikaitkan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISB) masih berlindung di lapan institusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sehingga kini.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata 102 daripada mereka menerima perintah interim di institusi terbabit manakala selebihnya perintah tetap di bawah Seksyen 30(1)(d) Akta Kanak-kanak 2001.
Katanya, seramai 448 sudah dijaga keluarga masing-masing manakala lima lagi di bawah jagaan Orang Yang Layak dan Sesuai (OYLS).
“Saya menasihatkan agar ibu bapa kepada kanak-kanak itu hadir mengambil anak masing-masing. Kita difahamkan mula-mula ada yang ingin menuntut tapi mungkin ada yang nasihat mereka supaya jangan dituntut dulu sebab ada kaitan dengan tindakan kerajaan.
“Saya rasa itu tak adil sebab kita tak serahkan sebelum ini kerana menunggu laporan polis dan proses perundangan. Jadi saya sarankan kepada ibu bapa terbabit, datanglah kepada kita.
“Kita pun tak mahu jaga anak orang dan tiada agenda tersembunyi sebaliknya ingin membantu. Nak ambil anak orang bukan mudah, lagipun ramai lagi anak di institusi kita yang perlu dijaga,” katanya dalam sidang media, di Tumpat, hari ini.
Mengulas lanjut, Nancy berkata pihaknya mengenalpasti keluarga kanak-kanak yang belum dituntut itu termasuk ada sudah berhubung, namun enggan menuntut anak mereka atas alasan tersendiri termasuk bimbang ditangkap pihak berkuasa.
Katanya, ibu bapa tidak perlu risau untuk datang mengambil anak mereka kerana mereka boleh berunding selain perlu hadir ke mahkamah untuk proses penyerahan.