Input your search keywords and press Enter.

SST Lebih Sesuai Berbanding GST Buat Masa Ini

M Update, 02/07/2025 – Kerajaan tidak menafikan bahawa Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) adalah sistem yang holistik, dan mungkin lebih baik untuk sektor perniagaan.

Bagaimanapun, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, menjelaskan bahawa pelaksanaan GST adalah lebih luas, dan impaknya terus kepada rakyat.

Katanya lagi, ia juga tidak ditanggung oleh perniagaan kerana mereka boleh menuntutnya kemudian.

Melalui Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pula, beliau berkata, kerajaan boleh memilih sektor mana yang perlu dikenakan cukai, berbanding GST yang mempunyai mekanisme yang lebih kompleks jika kerajaan ingin lakukan yang serupa.

Menurutnya lagi, dengan pelaksanaan SST, pengguna mempunyai pilihan. Pada peringkat awal, pengumuman bahawa sektor penjagaan kesihatan dan kecantikan akan dikenakan cukai menyebabkan kemarahan dalam kalangan wanita.

Namun, tindakan segera diambil dengan memberikan pengecualian bagi sektor tersebut, sekali gus menggembirakan semula golongan terlibat. Sekiranya GST digunakan, mekanismenya lebih kompleks dan tidak memberi fleksibiliti yang sama.

Keduanya, apabila kita mansuhkan GST pada 2018, sudah hampir tujuh tahun. Kebanyakan syarikat tidak bersedia untuk GST. Jadi jika kita cuba laksanakan GST kembali, ia mungkin mengambil masa dua tahun untuk mengemas kini sistem untuk hadapi GST.

Negara ini tidak boleh lalui tempoh masa dua tahun. Kita ada banyak perkara yang perlu dilakukan untuk membolehkan ia (GST) terlaksana dengan baik. Jadi ada isu kelewatan dengan GST,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian dalam sesi soal jawab bersama Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Fad’l Mohamed di majlis Invest ASEAN-Malaysia Conference 2025 anjuran bersama Bursa Malaysia dan Kumpulan Maybank, yang berlangsung di ibu negara selama tiga hari, bermula Selasa.

Polemik tentang pelaksanaan GST masih berterusan, dengan sesetengah pihak mendakwa ia lebih telus dan baik untuk rakyat serta perniagaan, berbanding peluasan skop SST.

Namun Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Menteri Kewangan, bertegas bahawa kerajaan tidak akan melaksanakan GST selagi kadar gaji minimum belum mencapai RM4,000 sebulan.

Dalam pada itu Amir Hamzah berkata, kerajaan melalui Ekonomi MADANI akan memberi fokus kepada usaha meningkatkan lantai pendapatan rakyat dahulu.

Kerajaan akan menilai semula pelaksanaan GST apabila tiba masanya yang sesuai. Namun pada masa ini, kerajaan berpendapat bahawa waktu untuk melaksanakan semula GST masih belum tiba.

SST sudah dilaksanakan sejak 1970-an lagi. Oleh itu, kerajaan memilih untuk menggunakan mekanisme yang sedia ada, iaitu Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST). – Astro Awani