Input your search keywords and press Enter.

Jawapan Isu LGBT Disalah Tafsir, Zulkifli Ajak Rujuk Penjelasan Penuh

Foto: NSTP

M Update, 29/01/2026 – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, tampil memberi penjelasan berhubung jawapannya di Parlimen mengenai isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) pada Selasa.

Beliau turut mengajak masyarakat agar mengamalkan sikap bertabayyun dengan meneliti fakta daripada sumber yang sahih serta memahami sesuatu isu berdasarkan konteks yang tepat dan menyeluruh.

Beliau menjemput semua pihak termasuk ahli Parlimen dan seluruh masyarakat supaya merujuk serta meneliti secara jujur jawapan penuh bertulis beliau berhubung isu berkenaan yang dimuat naik di laman sesawang Parlimen (https://www.parlimen.gov.my/jawapan-lisan-dr.html?uweb=dr.)

Dalam kenyataan pada Rabu, beliau turut menegaskan bahawa Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menolak sebarang usaha menormalisasikan LGBT kerana bertentangan dengan agama, moral dan nilai masyarakat.

Terdahulu, Zulkifli dikritik banyak pihak susulan jawapannya di Parlimen berkenaan tekanan kerja mungkin menjadi salah satu punca yang mendorong individu terlibat dengan komuniti berkenaan.

Beliau menjawab soalan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN–Rantau Panjang) yang meminta Perdana Menteri memberikan data dan statistik terkini mengenai trend berkaitan isu LGBT di Malaysia, termasuk pecahan peratusan dan kumpulan umur yang terlibat, serta komposisi etnik berdasarkan kajian nasional atau laporan agensi berkaitan, serta faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan kes LGBT di negara ini.

Tambah Zulkifli, bagaimanapun Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) secara khususnya tidak memiliki atau mempunyai data dan statistik golongan LGBT di Malaysia.