
M Update, – 29/01/2026 – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, cadangan untuk mengehadkan kemasukan motosikal ke lebuh raya perlu diperhalusi dan dibincangkan secara menyeluruh bagi menilai tahap keberkesanan serta kesannya terhadap pengguna jalan raya lain sebelum sebarang keputusan dibuat.
Menurutnya, walaupun pelbagai idea boleh dikemukakan, aspek kebolehlaksanaan dan impak sebenar di lapangan perlu diberi perhatian utama.
Beliau berkata terdapat pelbagai cadangan dikemukakan, termasuk oleh pengendali lebuh raya PLUS Malaysia Berhad (PLUS), namun aspek kepraktisan cadangan berkenaan masih perlu dinilai.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan menghadkan pergerakan motosikal di lebuh raya berdasarkan tempoh masa atau kapasiti tertentu bagi mengurangkan konflik dengan kenderaan lain, khususnya pada waktu puncak, susulan peningkatan ketara kemalangan maut melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal sejak tiga tahun kebelakangan ini.
Menurutnya, antara perkara utama yang perlu diteliti ialah sama ada pelaksanaan cadangan berkenaan akan menjejaskan pengguna yang benar-benar bergantung kepada lebuh raya untuk ke destinasi masing-masing.
Bagaimanapun, Anthony berkata isu itu tidak berada sepenuhnya di bawah bidang kuasa MOT kerana turut melibatkan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Kementerian Kerja Raya (KKR) dan pengendali lebuh raya.