Input your search keywords and press Enter.

Hantar Video Jelik, Pempengaruh Didenda RM40,000 Eksploitasi Gelandangan

Foto Tular

M Update, 30/1/2026 – Seorang pempengaruh media sosial dikenakan denda RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuantan semalam selepas mengaku bersalah memuat naik video menjijikkan di media sosial yang memaparkan tiga remaja lelaki memberikan nasi bersama tulang ayam kepada seorang gelandangan yang sedang tidur di kaki lima.

Tertuduh, Tang Sie Luk, 23, selaku Orang Kena Saman (OKS) membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sazlina Safie. Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara empat bulan sekiranya denda gagal dibayar. Bagaimanapun, Sie Luk telah menjelaskan bayaran denda berkenaan.

Berdasarkan fakta kes, OKS yang juga individu yang berada dalam video tersebut dan memberi tulang ayam kepada seorang gelandangan di Jalan Wong Ah Fook di Johor Bahru, Johor selain mengesahkan telah muat naik kandungan berkenaan menggunakan peranti komunikasi miliknya.

Foto Tular

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Fadhli Ab Wahab memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat sebagai pengajaran bukan sahaja kepada lelaki itu tetapi juga masyarakat agar tidak mengulangi kesilapan sama.

Mangsa memaklumkan bahawa dia berasa dihina dan marah atas perbuatan OKS. Tindakan memberikan sisa makanan berupa tulang ayam itu bukan bertujuan kebajikan, sebaliknya dilakukan semata-mata untuk rakaman kandungan media sosial, sekali gus jelas memperlihatkan unsur eksploitasi penderitaan manusia demi hiburan, perhatian dan tontonan umum.

Sebelum ini, tular menerusi media sosial video berdurasi lebih satu minit memaparkan tiga remaja lelaki memberikan nasi bersama tulang ayam kepada seorang gelandangan yang tidur di kaki lima.