Input your search keywords and press Enter.

Merokok di premis makanan, 406 individu diberi notis amaran

M Update, 6/3/2019 – Jabatan Kesihatan Sabah mengeluarkan 406 notis amaran berhubung larangan merokok di kedai makan dan memeriksa 2,261 premis di seluruh negeri sehingga akhir bulan lalu.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Stephen Wong, berkata sepanjang dua bulan lalu, sebanyak 2,710 aktiviti penguatkuasaan pendidikan turut dilaksanakan di seluruh negeri. Katanya, kerajaan negeri, Kementerian Kesihatan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) komited memastikan aktiviti penguatkuasaan pendidikan diteruskan selari dengan keputusan Kabinet negeri melaksanakan program itu bermula 1 Februari lalu hingga 30 Jun ini.

Sepanjang tempoh itu, pasukan penguatkuasaan dari Jabatan Kesihatan dengan dibantu PBT memantau premis yang ditampal dengan tanda larangan merokok berdasarkan spesifikasi, selain memberi nasihat dan penerangan kepada pemilik dan orang awam berhubung larangan itu. Ia memberi peluang kepada orang ramai untuk memahami dan menjadikan tabiat tidak merokok di kedai makan sebagai budaya sebelum penguatkuasaan penuh dilaksanakan berkuat kuasa pada 1 Julai depan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mulai 1 Julai, Wong berkata, denda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum dua tahun boleh dikenakan terhadap sesiapa yang didapati merokok di premis makanan. Katanya, secara keseluruhan orang ramai menyambut baik pelaksanaan peraturan itu, namun masih ada segelintir individu tidak bersetuju. Orang ramai boleh menyalurkan aduan berkaitan pematuhan larangan merokok melalui Infoline Kementerian Kesihatan di talian 03-88924530 atau aplikasi WhatsApp 010-8608949,

Sumber : BH Online

Leave a Reply