Input your search keywords and press Enter.

Jeruk Madu Pak Ali Dirompak

M Update, 1/4/2019 – Pemilik Kompleks Jeruk Madu Pak Ali kerugian kira-kira RM100,000 apabila wang hasil perniagaannya dilarikan dua lelaki bertopeng yang memecah masuk kilang pemprosesan syarikat itu di Simpang Ampat.

Kejadian itu disedari seorang pekerja premis terbabit apabila mendapati siling kilang jatuh ke lantai dan bahagian ruang pejabat berada dalam keadaan berselerak.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Shafee Abd Samad, berkata pemeriksaan lanjut yang dibuat pekerja terbabit mendapati peti besi yang menyimpan hasil jualan premis itu sudah dipecahkan dan sejumlah wang yang disimpan hilang.

Pekerja kilang itu mengesyaki bahawa premis berkenaan sudah dipecah masuk dan wang hasil jualan perniagaan yang disimpan dianggarkan kira-kira RM100,000 dalam peti besi itu hilang dilarikan suspek.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati terdapat dua lelaki bertopeng, berbaju lengan panjang serta bersarung tangan dilihat berada di tempat kejadian sebelum mereka melarikan diri.

Siasatan lanjut mendapati suspek memecah masuk kilang berkenaan dengan cara mengumpil atap genting dengan alatan kuku kambing.

Suspek kemudian masuk ke dalam kilang melalui siling yang dipecahkan dan bertindak memecahkan peti besi dengan menggunakan mesin penebuk dinding.

Kedua-dua mereka melarikan wang tunai yang disimpan dalam peti besi berkenaan sebelum dilihat turut menggeledah pejabat kilang berkenaan.

Tiada pekerja yang bertugas ketika kejadian dan kilang itu pula ditutup bermula jam 5 petang hingga 9 pagi setiap hari, dan hanya seorang pengawal keselamatan bertugas menjaga kilang jeruk berkenaan.

Sesiapa yang ada maklumat mengenai suspek boleh terus melaporkan kepada pihak polis.

Sumber : Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *