Input your search keywords and press Enter.

Pakar bedah dipenjara seumur hidup bunuh isteri

M Update, 10/05/2019 – Pakar bedah saraf Kanada dijatuhi hukuman penjara seumur hidup semalam kerana membunuh isterinya, menyumbat mayat mangsa ke dalam bagasi dan membuangnya ke dalam sungai selepas wanita itu cuba meninggalkannya.

Mohammed Shamji, 43, mengaku memukul dan mencekik Elana Fric-Shamji, 40, di rumah mereka di Toronto pada 2016.

Pasangan itu mempunyai tiga anak.

Beliau ditahan di kafe kopi keesokan harinya apabila mayat mangsa ditemui di tebing Sungai Humber di Toronto.

“Saya mahu bercakap mengenai keganasan domestik yang dialami Elana selama 12 tahun sebelum beliau meninggal dunia.

“Saya harap dengan cerita ini, wanita lain yang ada dalam keadaan serupa akan sedar, jika mereka tidak berani meninggalkan pasangan pada tahap awal, mereka akan mengalami nasib sama dengan Elana,” kata ibu mangsa, Ana Fric, di luar mahkamah.

Peguam keluarga itu, Jean DeMarco, berkata hukuman ke atas Shamji menamatkan penderaan, tekanan, kebimbangan selama lebih dua tahun diharungi keluarga mangsa.

“Mereka kini boleh terus dengan proses pemulihan,” katanya.

Polis berkata, pada 28 November 2016, Fric-Shamji, memfailkan perceraian dengan suaminya.

Dua hari kemudian, Shamji memukulnya dengan teruk, mematahkan leher mangsa dan beberapa tulang rusuk, sebelum mencekik isterinya sehingga mati. — AFP

Leave a Reply