Input your search keywords and press Enter.

AR Badul Mahu Inkues Siasat Punca Kematian Anak

M Update, 27/9/2019 – Pelakon serta pelawak veteran, AR Badul mahu inkues diadakan bagi mencari punca kematian anaknya, Mejar Mohd Zahir Armaya, dalam insiden tertembak ketika gimik pelancaran Divisyen Kelima Infantri Malaysia dan Briged Ke-13 Infantri Malaysia di Kem Lok Kawi, Sabah, awal bulan ini.

Badul atau nama penuhnya, Armaya Aman Ramlie, 70, berkata, beliau tidak berpuas hati dengan keputusan Lembaga siasatan Tentera Darat Malaysia (TDM) bahawa kematian anaknya diklasifikasikan sebagai kemalangan dalam latihan.

“Saya serta keluarga rasa tidak puas hati dan kecewa dengan keputusan yang dikeluarkan TDM dan mahukan penjelasan yang jelas mengenai punca kematiannya.

“Kalau boleh saya mahukan inkues, seperti yang dijalankan terhadap kes anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim,” katanya kepada pemberita pada majlis tahlil, di Seksyen 28, semalam.

Beliau berkata, pihaknya tidak mahu menuduh sesiapa apatah lagi kerajaan ataupun tentera bagaimanapun sebagai keluarga, mereka berhak mengetahui punca sebenar. Katanya, inkues berkenaan juga akan menjawab persoalan bukan sahaja dalam kalangan keluarga tetapi juga orang awam yang turut mempersoalkan insiden berkenaan.

Saya mahu tahu kronologi kematian dia. Bagaimana peluru boleh tersasar? Adakah posisi (cara dia berdiri) salah dan sebagainya.

“Jika prosedur operasi standard (SOP) tidak membenarkan maklumat mengenai kematiannya disebarkan, jelaskan kepada kami (keluarga) agar kami faham,” katanya.

Terdahulu, TDM dalam satu kenyataan semalam berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tatatertib yang setimpal terhadap individu yang terbabit insiden itu.

“Kita juga sedang kemas kini SOP mengikut keperluan latihan untuk memperkasa TDM akan diteruskan, khususnya bagi meningkatkan keyakinan semua warga TDM terhadap peralatan dan kelengkapan sedia ada,” katanya.

Mohd Zahir seorang Mejar Komando Kem Sungai Udang, Melaka dipercayai meninggal dunia akibat tertembak ketika membuat gimik sempena penubuhan 5 Divisyen di Lok Kawi, Sabah, awal bulan ini. – BH Online

Leave a Reply