Input your search keywords and press Enter.

Badak Sumbu Sumatera Terakhir Malaysia Buat IVF

Gambar Hiasan

M Update, 1/10/2019 – Satu sel telur dikeluarkan daripada badak sumbu Sumatera betina terakhir negara untuk digunakan dalam proses pembiakan secara in vitro bagi menyelamatkan mamalia berkenaan daripada pupus di Malaysia.

Proses mengeluarkan ovum dari rahim badak dikenali sebagai Iman itu dilakukan sekumpulan pakar dari Leibniz Institute of Zoo and Wildlife Research, Berlin yang diketuai Prof Thomas Hildebrandt di Hutan Simpan Hidupan Liar Tabin, Lahad Datu, semalam. Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Augustine Tuuga, berkata sel telur itu kemudian dibawa ke Pusat Inovasi Pembiakan Hidupan Liar dan Ternakan, Fakulti Pertanian Lestari, Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Sandakan.

Proses pengambilan telur itu dilakukan dengan kerjasama pasukan daripada Borneo Rhino Alliance (BORA), manakala persiapan dan pematangan sel telur dikendalikan pakar dari Universiti Pertanian Bogor, Indonesia, Prof Arief Boediono.

“Ini berita baik kepada kita, malah lebih banyak sel telur adalah lebih baik. Ini membolehkan kita meneruskan program untuk cuba menghasilkan embrio secara in vitro bagi spesies yang sangat terancam ini.

Prof Arief akan menggunakan sperma daripada badak jantan dikenali sebagai Tam yang mati akibat kegagalan buah pinggang pada Mei lalu untuk proses kesuburan in vitro. Kita bersedia untuk bekerjasama dengan Indonesia untuk usaha yang seterusnya,” katanya dalam kenyataan, di sini. Katanya, sperma Tam diambil sebelum dibekukan dan disimpan untuk tujuan pembiakan sebelum badak berkenaan mati pada Mei lalu.

Dekan Fakulti Pertanian Lestari, UMS, Prof Abdul Hamid Ahmad, berkata pihaknya mengalu-alukan usaha melakukan proses in vitro itu di fakulti itu. Pusat Inovasi Pembiakan di fakulti ini sudah dibuka untuk kegunaan dan saya mengalu-alukan usaha melakukan proses in vitro itu di sini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif BORA, Datuk Dr John Payne, berkata teknologi pembiakan terkini dapat memastikan baka badak sumbu Sumatera dapat disimpan lama selepas mati kerana tidak banyak yang masih tinggal di hutan untuk menyelamatkan spesies berkenaan. Usaha yang kita lakukan di Sabah ini sangat baik tetapi jika Indonesia bersetuju menyediakan air mani baharu daripada badak muda mereka, peluang untuk melihat usaha ini berjaya pasti lebih baik,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan negeri diketuai Timbalan Ketua Menteri, Datuk Christina Liew mengadakan pertemuan dengan pihak berkaitan di Indonesia berhubung usaha sama menyelamatkan badak sumbu Sumatera menerusi kaedah in vitro. Menerusi kerjasama itu, sel telur Iman yang sudah disenyawakan melalui proses in vitro akan dimasukkan ke dalam rahim badak betina di Indonesia sebagai ibu tumpang. Iman, walaupun masih boleh menghasilkan sel telur, sudah tidak boleh bunting selepas berdepan masalah ketumbuhan dalam rahim. – BH Online

Leave a Reply