Input your search keywords and press Enter.

Jenazah Anggota Polis, Isteri Selamat Dikebumi Awal Pagi Tadi

M Update, 30/10/2019 – Jenazah Lans Koperal Muhammad Syakiran Shamsuddin, 30 dan isterinya, Nurul Ashikin Kamaruddin, 27, yang maut dalam kemalangan di Jalan Syed Putra, Kuala Lumpur selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Rekang Hilir, jam 2.20 pagi tadi.

Kedua-dua jenazah itu tiba di rumah keluarga Muhammad Syakiran di Kampung Repek di sini jam 1.01 pagi dengan dua van jenazah milik Polis Diraja Malaysia (PDRM). Suasana hiba apabila ketibaan jenazah diiringi tangisan ahli keluarga selain anak tunggal mangsa, Muhammad Arfan Rizqi (Rizqi) berusia satu tahun 10 bulan asyik menyebut, ‘abi…abi…’ memanggil arwah Muhammad Syakiran.

Hadir memberi penghormatan terakhir Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Nik Aminuddin Raja Abdullah, anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok dan rakan-rakan serta kira-kira 300 penduduk kampung. Ibu Nurul Ashikin, Fauziah Dollah, 63, berkata, dia dan suami, Kamaruddin Harun, 60, akan menjaga anak tunggal pasangan suami isteri itu. Katanya, ini kerana dia dan suami hanya tinggal bersama seorang lagi cucu manakala anak-anak yang lain sudah berkeluarga dan tinggal di Kuala Lumpur.

“Kali terakhir berjumpa arwah anak pada September lalu ketika dia balik bercuti, kali terakhir WhatsApp dia (Muhammad Syakiran) pun tiada sebarang perubahan pelik. Sekarang saya juga jaga seorang cucu darjah empat, jadi biarlah kami yang jaga anak arwah (Rizqi),” katanya.

Fauziah berkata, Nurul Ashikin pula adalah anak keempat daripada lima beradik dan sudah enam tahun berkahwin dengan Muhammad Syakiran.

“Kami tidak tahu berita kehamilannya sehingga dimaklumkan ahli keluarga selepas bedah siasat, namun saya anggap ini takdir dan reda dengan pemergian anak, menantu dan dua bakal cucu kembar,” katanya yang mempunyai 12 cucu dan tinggal di Kampung Kadok, Ketereh.

Sementara itu, video Allahyarham Muhammad Syakiran mendukung sambil bergurau dengan anaknya menjadi kenangan terakhir keluarga dan tatapan anaknya kelak. Video berdurasi lima minit itu sempat dirakam adik Muhamamd Syakiran, Muhammad Nazrul, 19, ketika berada di rumah pasangan suami isteri itu pada 27 Oktober lalu sambil menonton perlawanan separuh akhir Piala Malaysia Kedah menentang Pahang. Lebih memilukan dalam rakaman itu jelas memaparkan kemesraan bapa dan anak selain turut kelihatan kelibat Nurul Ashikin.

Muhammad Nazrul berkata, dia merakam video itu untuk tontonan ahli keluarga kerana bersiar-siar beberapa hari di Kuala Lumpur dan tinggal di rumah arwah abangnya.

“Malam kelmarin, abang hantar saya menaiki bas dan pagi esoknya selepas hantar Rizqi ke rumah pengasuh, mereka terbabit dalam kemalangan.

“Saya baru sampai Kelantan jam 7 pagi, tidak lama kemudian menerima perkhabaran duka ini, pemergian mereka secara tiba-tiba mengejutkan keluarga terutama ibu, Mariah Ag Senik, 58,” katanya.

Anggota polis Balai Seksyen 6 Shah Alam itu maut bersama isteri ketika dalam perjalanan ke tempat kerja selepas motosikal ditunggang merempuh belakang sebuah lori jam 7.59 pagi semalam. – BH Online

Leave a Reply