Input your search keywords and press Enter.

15,000 Lampu LED Terangi Jalan Kampung Seluruh Negara

M Update, 4/1/2019 – Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) akan menambah bekalan lampu jalan jenis diod pemancar cahaya (LED) di kawasan jalan kampung di seluruh negara.

Ia adalah tambahan kepada inisiatif 10,000 lampu jalan LED yang dilaksanakan MESTECC dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) sebelum ini. Menterinya, Yeo Bee Yin, berkata usaha yang dilaksanakan menerusi ‘incentive-based-regulation’ atau IBR itu akan memberi manfaat kepada penduduk khususnya di kawasan luar bandar.

“Sebelum ini kita sudah bersetuju untuk membekalkan 10,000 lampu jalan LED di jalan-jalan kampung tetapi pada minggu lalu, saya sudah menghantar satu surat kepada Menteri KPLB, Datuk Seri Rina Harun yang kita akan bekalkan lagi 15,000 lampu berkenaan di jalan kampung di seluruh negara.

“Menerusi kerjasama MESTECC dan KPLB, kita harap dapat menerangkan lagi jalan dan kawasan kampung di seluruh negara kelak,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Forum Penerangan Belanjawan 2020.

Bee Yin yang juga Ahli Parlimen Bakri berkata, bagi tujuan itu KPLB akan membantu menentukan kawasan kampung yang bakal menerima kemudahan lampu berkenaan kelak. Lampu jalan LED ini juga akan dipasang di jalan kampung dengan menggunakan tiang milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan mungkin KPLB akan tentukan kawasan tertentu yang akan menerima kemudahan yang sama.

“Kita berharap menerusi inisiatif kerajaan ini ia bukan sahaja mampu menerangi jalan kampung kerana pencahayaannya yang lebih terang tetapi juga memberi penjimatan sehingga 30 peratus khususnya pihak berkuasa tempatan (PBT) yang bertanggungjawab membayar bil elektrik, selain ia mampu mewujudkan suasana lebih selamat,” katanya.

Sumber : BH Online

Leave a Reply