Input your search keywords and press Enter.

Koronavirus Menyerang Seluruh Wilayah China

M Update, 31/01/2020 – Koronavirus yang merebak pertama kali di Wuhan kini telah menular di seluruh wilayah China selepas Tibet mengesahkan kes jangkitan pertama wabak membawa maut itu, sekali gus menjadikan jumlah korban kini mencecah 170 orang dan 7,711 kes jangkitan direkodkan semalam.

Sebelum ini, wilayah pergunungan Tibet itu adalah satu-satunya wilayah yang ditadbir kerajaan China yang bebas koronavirus tersebut.

Namun, kes pertama yang dilaporkan itu menjadikan kesemua wilayah, wilayah autonomi, wilayah pentadbiran khas (Hong Kong dan Macau) dan majlis perbandaran di seluruh China kini dijangkiti wabak yang menyebabkan pneumonia itu.

Kes jangkitan di Tibet itu telah meningkatkan lagi kebimbangan tentang bagaimana koronavirus itu mudah merebak terutamanya apabila individu tidak menunjukkan sebarang simptom atau asimptomatik.

Wabak membawa maut itu kini menular di seluruh China selepas wilayah Tibet melaporkan kes jangkitan pertama hari ini.

Selasa lalu, Tibet mengumumkan penutupan kesemua pusat pelancongan dan mana-mana pelancong yang memasuki Tibet kini perlu mendaftar dengan pihak berkuasa serta dikuarantin selama 14 hari.

Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan (NHC) turut melaporkan kes kematian tertinggi sejak koronavirus itu dikenal pasti pada tahun lalu selepas 38 kematian baharu dilaporkan dalam tempoh 24 jam.

Sementara itu, 81,000 individu turut berada di bawah pemerhatian pihak berkuasa kesihatan.

Dalam perkembangan lain, pemerhati antirasuah China menegaskan ia akan menghukum mana-mana pegawai yang tidak melaksanakan langkah memerangi penularan koronavirus itu secara efektif.

Suruhanjaya Pusat untuk Pemeriksaan Disiplin (CCDI) memberitahu hukuman tegas juga akan dikenakan terhadap mereka yang gagal menjalankan tugas dan menyalahgunakan dana dan peralatan penyelamat. – AFP

Leave a Reply