Input your search keywords and press Enter.

COVID-19: Sembilan Kes Baharu, Enam Telah Pulih

M Update, 13/3/2020 – Sembilan kes baharu positif COVID-19 dilaporkan semalam menjadikan jumlah kes kumulatif di negara ini meningkat kepada 158, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, enam kes yang disahkan positif COVID-19 sebelum ini telah pulih dan dibenarkan pulang menjadikan jumlah keseluruhan yang pulih sebanyak 32 kes.

“Pada masa ini terdapat tiga kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi yang memerlukan bantuan alat pernafasan dan mereka dalam keadaan stabil,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) mengambil maklum kenyataan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai situasi terkini COVID-19 di peringkat global yang melibatkan 114 negara.  Pihak WHO telah mengisytiharkan kejadian COVID-19 sebagai pandemik dengan mengambil kira terdapat peningkatan kes yang ketara di negara-negara selain dari China.

“WHO juga memaklumkan bahawa langkah pencegahan dan kawalan yang sedang dijalankan kini masih relevan dan dicadangkan untuk dipertingkatkan. Dengan pengumuman WHO ini, KKM akan terus memastikan langkah kawalan dan pencegahan jangkitan COVID-19 yang telah dijalankan dikaji mengikut situasi semasa di negara kita dan akan dipertingkatkan,” katanya.

Sementara itu, beliau memberitahu media bahawa Malaysia belum mengalami kes sporadik COVID-19.

Dr Noor Hisham berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Kluster COVID-19 yang dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof, di sini hari ini.

Beliau berkata kes-131 yang sebelum ini dikatakan sporadik, tidak betul apabila siasatan lanjut yang dijalankan KKM mendapati pesakit merupakan salah seorang peserta perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling pada 27 Februari hingga 1 Mac lepas. Selain itu, Dr Noor Hisham berkata KKM bersedia untuk mendedahkan jumlah kes positif COVID-19 mengikut negeri. 

“Biar kami lakukan analisis dahulu … ia boleh didedahkan.  Saya tidak fikir negeri-negeri ada banyak masalah  (kerana nama hospital kerajaan yang mempunyai kes positif COVID-19 didedahkan),” katanya sambil menambah majoriti kes dari gelombang kedua datang dari Lembah Klang.  

Sumber : BERNAMA

Leave a Reply