Input your search keywords and press Enter.

Agong Kurnia Sumbangan MAIWP Kepada Veteran ATM

M Update, 25/6/2020 – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan sumbangan daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) kepada 6,000 orang veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam kalangan B40 berjumlah RM1.8 juta hari ini.

Baginda turut berkenan mengurniakan ampun kurnia wang tunai dan hamper barangan makanan asas kepada 10 orang veteran ATM sebagai simbolik perkenan Seri Paduka berangkat menyantuni mereka yang banyak mencurahkan bakti kepada negara.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataannya berkata, majlis itu adalah aktiviti ketiga Sultan Abdullah berkenan berangkat hadir, yang diadakan di luar Istana Negara, sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu.

“Bagi dua aktiviti terdahulu, Seri Paduka Baginda berkenan mengurniakan sumbangan kepada anak yatim pada 12 Jun lalu dan golongan gelandangan pada 10 Jun lalu.

“Majlis ini dianjurkan oleh MAIWP dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dengan kerjasama Istana Negara, Kementerian Pertahanan dan Bantu-Bantu Malaysia,” katanya.

Turut hadir Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Ahmad Marzuk Shaary; Pengerusi MAIWP, Datuk Sri Syed Hussien Al Habshee dan Pengarah Jawi Mohd Ajib Ismail.

Sementara itu seorang penerima, Janudin Nordin, 64, berkata dia teruja menerima sumbangan daripada Seri Paduka yang turut bertanyakan pengalamannya ketika dalam perkhidmatan. Dia yang cedera di kaki ketika Operasi Selamat Sawadee di sempadan Malaysia-Thailand pada 1979 turut berkongsi kisah kejadian kepada Sultan Abdullah.

Bagi pesara komando, Lokman Ali, 51, pengalaman bersama Seri Paduka ketika latihan di Rumah Tempur Kem Sungai Udang pada 2001 adalah pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Katanya ia akan menjadi catatan kenangan sepanjang hidupnya kerana dapat bersama-sama baginda yang ketika itu adalah Tengku Mahkota Pahang.

“Ketika itu Tuanku adalah sasaran dan saya penembak. Semua itu jadi kenangan. Selepas hampir 20 tahun, barulah saya berkesempatan memaklumkan kepadanya dan Tuanku masih ingat,” katanya. – HM Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *