Input your search keywords and press Enter.

Kerajaan Akan Pastikan Pekerja Kita Di Singapura Terbela – KSM

M Update, 8/9/2020 – Kementerian Sumber Manusia akan mendapatkan maklumat terperinci berhubung pendirian Singapura yang menawarkan insentif kepada majikan untuk menggajikan pekerja republik itu.

Menteri, Datuk Seri M Saravanan, berkata pihaknya akan meneliti perkara itu bagi memastikan nasib rakyat Malaysia yang bekerja di sana terbela.

Sebagai sebuah negara membangun, Saravanan percaya Singapura akan mengikut standard yang ditetapkan oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) yang mana semua pekerja sama ada tempatan atau asing perlu diberikan layanan sama. Setakat ini, hampir 400,000 rakyat Malaysia bekerja di Singapura.

“Saya yakin Singapura sepatutnya membela nasib semua pekerja, sama ada tempatan atau asing. Saya akan dapatkan maklumat dari pihak Singapura, kita perlu lihat apa perancangan mereka. Mungkin ada kaedah sendiri,” katanya di sini, hari ini.

Beliau mengulas skim insentif kepada majikan di republik itu jika menggaji pekerja tempatan dalam tempoh enam bulan akan datang bagi menggalakkan guna tenaga domestik ketika pandemik COVID-19.

Kementerian Sumber Manusia Singapura mengumumkan inisiatif sokongan tambahan kerajaan bernilai S$8 bilion (RM24.29 bilion) yang disediakan bulan lalu bagi tujuan itu. – BH Online