Input your search keywords and press Enter.

Tiada Cadangan Tukar Kad Pengenalan Baharu – Ismail

M Update, 9/9/2020 – Kerajaan tidak bercadang untuk menukar kad pengenalan atau MyKad kepada yang baharu, memandangkan MyKad sedia ada dilengkapi ciri-ciri keselamatan bermutu tinggi dan canggih, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said.

Bagaimanapun beliau berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), sentiasa terbuka untuk mengkaji dan mendapatkan pandangan daripada mana-mana pakar, untuk menukar MyKad sekiranya ada keperluan pada masa akan datang.

“Pertamanya, (MyKad sedia ada) diperbuat daripada bahan polikarbonat sepenuhya dan telah diuji ketahanannya di makmal yang diiktiraf. Selain itu cip MyKad juga, telah melalui beberapa peringkat pengujian, termasuklah sebelum proses memasukkan cip ke dalam MyKad.

“Tulisan laser pada nama, nombor kad pengenalan dan gambar kecil, bagi mengelakkan maklumat daripada dipinda, dan sekiranya terdapat pindaan, pindaan tersebut dapat dikesan dengan mudah dan pantas,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad, yang ingin tahu mengenai jangka masa kerajaan untuk melaksanakan proses menukar kad pengenalan baharu yang berkualiti dan lengkap dengan ciri-ciri keselamatan.

Ismail turut menyeru orang ramai untuk membawa dan menyimpan MyKad mereka pada setiap masa, serta bertanggungjawab ke atasnya seperti yang ditetapkan di bawah Peraturan 6 Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990. Katanya, individu yang gagal mematuhi Peraturan 6, boleh didenda di bawah Peraturan 25(n) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau keduanya, jika sabit kesalahan. – BERNAMA