Input your search keywords and press Enter.

SPR: PRK Batu Sapi 5 Disember

M Update, 13/10/2020 – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Parlimen Batu Sapi pada 5 Disember.

Pengerusi SPR Datuk Abdul Ghani Salleh ketika mengumumkan urusan PRK Batu Sapi dalam sidang media di Menara SPR di sini hari ini berkata, hari penamaan calon ditetapkan pada 23 November manakala hari pengundian awal pada 1 Disember.

PRK Batu Sapi perlu diadakan bagi mengisi kekosongan kerusi Parlimen Batu Sapi susulan kematian penyandangnya Datuk Liew Vui Kong pada 2 Oktober lalu, dipercayai akibat jangkitan paru-paru.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), Liew yang mewakili Parti Warisan Sabah berjaya memenangi kerusi Parlimen Batu Sapi dengan majoriti 4,619 undi dalam pertandingan empat penjuru. Batu Sapi terletak dalam daerah Sandakan di Sabah.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh Sabah berkuat kuasa hari ini sehingga 26 Oktober ini.

Sebelum ini, Abdul Ghani dilaporkan berkata, PRK Batu Sapi perlu dijalankan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan dan hanya boleh ditangguhkan sekiranya kerajaan mengisytiharkan darurat di kawasan itu.