Input your search keywords and press Enter.

MKN, NADMA & APM ‘Hero’ Dalam Tangani Pandemik COVID-19

M Update, 10/12/2020 – Pandemik Covid-19 memberi impak besar kepada seluruh kehidupan manusia kerana sejenis wabak penyakit yang menular bukan sahaja di negara ini malah menjangkiti seluruh dunia.

Bagi menangani krisis kesihatan yang belum pernah berlaku itu, pelbagai inisiatif dilakukan kerajaan bukan sahaja memastikan rantaian jangkitan dapat diputuskan, malah kelangsungan hidup rakyat mampu diteruskan.

Langkah awal yang diambil kerajaan ialah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mulai 18 Mac lalu.

Walaupun perintah itu mengakibatkan kerugian kepada negara sebanyak RM2.4 bilion sehari, namun tindakan itu perlu dibuat demi nyawa rakyat.

Pengurusan Covid-19 diletakkan di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Perdana Menteri (JPM) sebagai satu agensi yang menguruskan keselamatan negara.

Ia ternyata memberi cabaran baharu dalam pengurusan keselamatan negara yang bukan lagi bersifat tradisional.

Ancaman kesihatan ini menuntut MKN sentiasa kekal relevan, efektif dan efisien untuk menjaga kepentingan negara serta kesejahteraan rakyat.

Dalam tempoh lima (5) dekad penubuhannya, peranan MKN kini lebih mencabar untuk menguruskan situasi krisis pandemik Covid-19. Ini termasuk membuat keputusan-keputusan dasar melalui kesepakatan tindakan pelbagai pihak dalam menangani krisis itu.

Keputusan itu kemudiannya diterjemahkan menjadi pelan tindakan di lapangan dan hasil yang memberi impak kepada usaha negara dalam menangani situasi Covid-19 melalui sumber manusia, kewangan, material dan aset yang perlu diintegrasikan agar ia dimanfaatkan dengan cekap dan berkesan.

Bagi menambah baik pengurusan situasi keselamatan negara, Akta Majlis Keselamatan Negara (Akta 776) dipinda dan mula berkuat kuasa pada 1 November lalu bagi memastikan tindakan-tindakan bersepadu seluruh jentera kerajaan dapat menampung keperluan pengurusan ancaman keselamatan semasa dan masa hadapan.

Segala perancangan dan hala tuju strategik dirangka melalui penglibatan seluruh kementerian dan agensi serta kerajaan-kerajaan negeri untuk bertindak secara bersepadu.

Menurut Timbalan Ketua Setiausaha Kanan, JPM, Dato’ Mohd Sallehhuddin Hassan, MKN mengadakan mesyuarat berkala termasuk sidang khas bersama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mencari kaedah pendekatan terbaik bagi memutuskan rantaian Covid-19.

Timbalan Ketua Setiausaha Kanan, JPM, Dato’ Mohd Sallehhuddin Hassan.

Pasukan barisan hadapan digerakkan secara all out dengan penggembelengan tenaga bersama petugas kesihatan dan keselamatan di lapangan.

Selain MKN, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bertindak sebagai penyelaras untuk menguruskan bantuan bencana dalam negara dengan teratur dan efektif, menyelaras tindakan pengoperasian dan gerak kerja Sekretariat Pengurusan Bencana di Negeri dan Daerah, pengurusan logistik bagi memenuhi keperluan frontliners dan rakyat.

Pengurusan bantuan kepada mangsa Covid-19 dan pengurusan stesen kuarantin di seluruh negara juga merupakan tanggungjawab NADMA dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Malaysia, Institut Latihan Awam di seluruh negara dan Pusat Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah MAEPS.

NADMA turut menguruskan Tabung COVID-19 yang dilancarkan pada 10 Mac lalu untuk membantu mereka yang positif atau kontak rapat kepada pesakit.

Sesungguhnya, pelbagai cabaran dihadapi pasukan ini dalam menguruskan negara sepanjang tempoh 10 bulan menangani wabak Covid-19. Ini termasuk mewujudkan kebiasaan baharu bermula gelombang pertama pada Mac sehingga kini sudah memasuki gelombang ketiga.

“Langkah diambil kerajaan secara step by step dan berhati-hati. Kita sudah memulakan kempen kepada rakyat untuk mematuhi SOP sehingga kita berjaya melandaikan lengkungan graf jangkitan Covid-19.

“Cabaran ini kita tidak tahu berapa lama lagi akan ditempuhi dan bilakah penghujungnya. Namun, sebagai agensi menguruskan bencana negara dan pasukan barisan hadapan, kita sentiasa bersiap siaga pada bila-bila masa,” kata Sallehhuddin.

Sebuah agensi keselamatan di bawah JPM turut dipertanggungjawab iaitu Angkatan Pertahanan Awam (APM). Walaupun penugasannya kurang disebut-sebut masyarakat, jabatan ini merupakan antara tunjang utama sekretariat pengurusan bencana dalam menangani pandemik Covid-19.

APM salah sebuah jabatan yang diberi kuasa dalam pelaksanaan Akta 342 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988. Antaranya adalah beberapa penugasaan khusus bersama Kementerian Kesihatan melaksanakan penugasan Omnipresence (rondaan bersama pihak berkuasa lain), penugasan pentadbiran, pengumpulan data, pengurusan penghantaran bekalan dan bantuan ke kawasan Perintah kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Pentadbiran (Temco).

Selain itu, jabatan ini berperanan penting dalam perancangan, pembukaan, pengoperasian dan penutupan Stesen Kuarantin iaitu memastikan pengurusan dilaksanakan mengikut Mesyuarat Penyelarasan Bagi Rakyat Malaysia Pulang Dari Luar Negara, memastikan Pelan Tindakan Kecemasan (Emergency Response Plan) berjalan lancar, memastikan penghantaran makanan mengikut masa, pengurusan sisa klinikal, kerja-kerja sanitasi dan terminal cleaning diuruskan dengan baik.

Pada masa ini terdapat 161 stesen kuarantin aktif di 13 negeri dengan jumlah semasa individu 16,984 dengan kekuatan 2,848 petugas.

“Memang tak nampak peranan APM, tetapi mereka juga unsung heroes yang mana peranannya hampir sama dengan pasukan kesihatan dan keselamatan lain. APM mempunyai pegawai dan anggota yang pada bila-bila masa boleh membantu dalam setiap keadaan yang memerlukan,” kata beliau.

Dalam membiasakan norma baharu kehidupan, sistem penyampaian kerajaan tetap berjalan seperti biasa walaupun jumlah kakitangan awam dikurangkan untuk berada di pejabat.

Ini berikutan sistem penyampaian kerajaan banyak mengguna pakai secara dalam talian. Unit Pemodenan Tadbiran Dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), JPM bertanggungjawab sebagai perancang dan peneraju agenda pendigitalan sektor awam ke arah menambah baik dan memodenkan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan.

Perkhidmatan End-To-End (E2E) merupakan perkhidmatan yang ditawarkan kepada pelanggan secara dalam talian yang boleh diakses pada bila-bila masa dan di mana-mana tanpa berurusan secara bersemuka.

Kerajaan mensasarkan 40 peratus perkhidmatan E2E dalam sektor awam menjelang hujung tahun ini, berbanding 20.2 peratus pada tahun lalu.

Pelan Strategik Pendigitalan Sektor Awam (PSPSA) 2021 – 2025 dibangunkan yang akan menjadi dasar utama bagi pendigitalan sektor awam sekali gus dapat menawarkan perkhidmatan digital bertaraf dunia kepada rakyat (G2C), komuniti perniagaan dan industri (G2B) dan penjawat awam (G2E) dengan mudah dan selamat melalui satu gerbang tunggal (malaysia.gov.my).

Era Covid-19 merubah secara total semua aspek kehidupan. Dan setiap rakyat mahupun penjawat awam bertanggungjawab mengamalkan norma baharu dengan membiasakan amalan kebersihan, menjauhi tempat sesak dan mengubah landskap kerja dengan bekerja dari rumah. Ia sekali gus mampu membantu petugas barisan hadapan menangani wabak walaupun mereka tetap cekal dan bersemangat dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab.