Input your search keywords and press Enter.

COVID-19 : Perketat SOP Perkilangan & Pembinaan

Sektor perkilangan dan pembinaan dikenal pasti antara penyumbang tertinggi kes positif harian dan mereka yang bergejala. 

M Update, 26/01/2021 – Prosedur operasi standard (SOP) berhubung operasi sektor perkilangan dan pembinaan di negara ini wajar diperketatkan bagi membendung penularan COVID-19.

Presiden Gabungan Persatuan Anak Negeri (GAPAN), Datuk Seri Syed Hussien Al Habshee, berkata tindakan itu perlu kerana kedua-dua sektor berkenaan dikenal pasti antara penyumbang tertinggi kes positif harian dan mereka yang bergejala.

Sehubungan itu, katanya, tindakan bersasar perlu diperkasa dengan kerjasama Kementerian Sumber Manusia yang bakal merangkumi beberapa aspek penting.

“Bagi sektor perkilangan dan pembinaan, aspek tempat tinggal pekerja perlu diberi jaminan serta sempurna supaya tiada penularan ketika berada di asrama masing-masing.

“Pekerja juga harus patuh kepada SOP ketat, malah Jabatan Sumber Manusia perlu menjalankan operasi seara tegas bagi menentukan keadaan kesihatan pekerja berada dalam keadaan baik dan memuaskan.

“Kegagalan mematuhi langkah sedemikian berupaya mengundang penularan COVID-19 pada kadar yang sangat cepat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Syed Hussien berkata SOP ketat menerusi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang tidak meliputi sektor perkilangan dan pembinaan bakal merencatkan usaha memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19 di Malaysia.

Beliau berkata, kegagalan mematuhi SOP merangkumi dua sektor berkenaan turut menyebabkan pendapatan golongan peniaga kecil, makanan dan restoran terjejas.

“GAPAN sentiasa prihatin terhadap norma baharu dan kesusahan yang dihadapi ahli gabungan, terutama peniaga kecil-kecilan agar beban mereka dapat dikurangkan,” katanya.