Input your search keywords and press Enter.

NGO & Sukarelawan Perlu Kemukakan Dokumen Rentas Negeri Untuk Salur Bantuan

Badan korporat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan dari luar Pahang yang merancang menghantar bantuan bencana kemanusiaan ke negeri itu perlu kemukakan dua dokumen sebelum dibenarkan merentas negeri.

M Update, 26/01/2021 – Dua dokumen perlu dikemukakan sebelum dibenarkan merentas negeri, bagi badan korporat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan dari luar Pahang yang merancang menghantar bantuan bencana kemanusiaan ke negeri itu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Abd Jalil Hassan, berkata, dua dokumen itu ialah pengesahan surat kelulusan merentas negeri dan sistem ebanjir.gov.my.

Katanya, kedua-dua dokuken itu perlu dipamerkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) di pintu sempadan negeri sebelum dibenarkan meneruskan misi penghantaran bantuan.

“Berdasarkan laporan, ada penyumbang mempunyai surat kebenaran merentas negeri tetapi gagal mengemukakan bukti pengesahan ebanjir.gov.my yang menyebabkan kita tidak membenarkan mereka masuk ke negeri ini.

“Bagaimanapun, disebabkan sudah berada di sempadan negeri pada waktu malam, mereka terpaksa menunggu sehingga keesokannya untuk mengisi dokumen ebanjir.gov.my.

“Kelulusan itu penting untuk memudahkan pihak berkuasa untuk menentukan daerah yang akan menerima bantuan kerana tidak mahu semua bantuan hanya dihantar ke daerah tertentu sahaja,” katanya ketika ditemui, di sini semalam.

Pada 23 Januari lalu, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata penghantaran bantuan bencana kemanusiaan dari luar Pahang perlu mendapat kelulusan menerusi sistem ebanjir.gov.my.

Katanya, pada masa sama, kebenaran rentas negeri daripada PDRM sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Pusat penghantaran bantuan yang ditetapkan ialah di Bentong, Rompin dan Kuantan.

“Pengagihan bantuan akan dilaksanakan oleh Pusat Kawalan Operasi Banjir (PKOB) negeri dan daerah.

“Kerajaan negeri membenarkan pergerakan rentas daerah bagi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan Pahang bagi kerja gotong-royong pasca banjir di daerah yang memerlukan sahaja.

“Jumlah sukarelawan dibenarkan seramai 10 hingga 15 orang sahaja bagi satu NGO atau agensi,” kata Wan Rosdy.