M Update, 8/2/2019 – Jenazah tiga sekeluarga mangsa lemas di Sungai Pedu, semalam, selamat dikebumikan di dalam satu liang di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kampung Tong Pelu, Pedu, kira-kira jam 12.30 tengah malam tadi.
Terdahulu, jenazah dua beradik, Nor Shafia Hafiza Samsudin, 16, dan Nor Shariza Hafiza, 14, serta datuk mereka, Mad Ramli Ibrahim, 65, dibawa ke masjid berhampiran tanah perkuburan itu untuk disolatkan kira-kira jam 11.50 malam.
Kira-kira 500 saudara-mara, kenalan dan penduduk hadir memberi penghormatan terakhir.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari semalam, Nor Shafia Hafiza dan Nor Shariza Hafiza bersama seorang rakan mereka, Anis Umaira Mohd Ismail, 16, tiba-tiba dihanyutkan arus deras ketika mandi di Sungai Pedu.
Berikutan itu, Mad Ramli terjun ke dalam sungai untuk menyelamatkan mangsa, namun gagal apabila turut dihanyutkan arus deras.
Bagaimanapun, Anis Umaira berjaya diselamatkan penduduk kampung yang berada di tempat kejadian.
Mayat ketiga-tiga mangsa kemudian ditemui terapung antara jam 2.26 petang hingga 5.35 petang di kawasan pencarian sejauh 100 meter dari tempat kejadian, sebelum dibawa ke Hospital Kuala Nerang untuk bedah siasat.
Semoga ahli keluarga tabah menghadapi dugaan ini. Semoga arwah ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.
Sumber : Berita Harian