Input your search keywords and press Enter.

Dengar Adib kena pukul

Saksi kelapan, S Suresh,FOTO:Roslin Mat Tahir

M-Update,15/2/2019, SEORANG saksi memberitahu Mahkamah Koroner di Shah Alam, ada anggota bomba dipukul pada insiden rusuhan berhampiran Kuil Sri Maha Mariamman, di USJ 25, Subang Jaya, 27 November tahun lalu. S Suresh, 33, yang juga kontraktor berkata, ketika itu dia menghampiri sekumpulan antara 20 hingga 30 orang awam yang bertolak-tolak di depan anggota bomba terbabit selepas jentera bomba diserang orang awam dan meninggalkan tempat kejadian.

Dia berkata, ketika itu, mangsa dilihat berpakaian uniform dan dalam keadaan sudah terduduk dan bersandar di depan ‘bumper’ sebuah kenderaan.Saksi kelapan inkues berkata demikian ketika menjawab soalan peguam yang mewakili keluarga anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim, Kamaruzaman A Wahab pada prosiding hari kelima inkues berkenaan.

KAMARUZAMAN: Ketika bertolak-tolak itu, (bertolak-tolak) sebab apa? Saya cadangkan ada yang nak pukul Adib dan ada yang tak nak pukul. Setuju.

SURESH: Ya

Saksi sama berkata, ketika bertolak-tolak itu, dia terjatuh betul-betul di depan anggota bomba berkenaan.

KAMARUZAMAN: Kamu kata, kamu ditolak dari belakang dan masa terjatuh (ke depan anggota bomba), (akibat) ditendang?

SURESH:Ya

KAMARUZAMAN: Perasan tak siapa tendang kamu?

SURESH: Tak nampak.

KAMARUZAMAN: Tendang sekali saja?

SURESH: Ya

KAMARUZAMAN: Pada masa orang bertolak-tolak itu, ada 20 hingga 30 orang bertolak-tolak?

SURESH: Ya

Katanya, seorang lelaki bertubuh besar kemudian menghalang orang awam daripada mendekati mangsa.

KAMARUZAMAN: Masa kamu jatuh, ada nampak 20 atau 30 orang. Ketika kamu jatuh, ada sesiapa sebut mangsa dilanggar?

SURESH: Tak

KAMARUZAMAN: Ada sesiapa dalam ‘crowd’ beritahu mangsa dilanggar?

SURESH: Tak ada

Terdahulu, ketika menjawab soalan Pegawai Pengendali, Zhafran Rahim Hamzah, Suresh berkata, dia mengandaikan mangsa dipukul pada insiden berkenaan.

Suresh berkata, dia terdengar perbualan sekumpulan orang awam yang berkumpul di depan anggota bomba berkenaan.

Dia turut memberitahu perkara itu kepada rakannya yang bernama R Narresh yang berada berhampiran lokasi kejadian.

ZHAFRAN: Kenapa kamu cakap (kepada Naresh) ada anggota bomba kena pukul?

SURESH: Saya dengar ada orang cakap, ‘jangan pukul, jangan pukul’.

Selain itu, saksi sama memberitahu mahkamah, dia turut mendengar sekumpulan orang awam berkata, ‘anggota bomba pun nak pukul ke…’ ketika mengusung mangsa keluar dari tempat kejadian.

Katanya, orang awam itu memintanya untuk mencarikan kereta untuk membawa mangsa ke hospital.

ZHAFRAN: Selepas itu, apa kamu buat?

SURESH: Saya cari kereta.

Menjawab satu soalan lain Zhafran, dia berkata, dia dan beberapa rakannya kemudian ke hospital di Subang Jaya dan hanya pulang kira-kira 4 atau 5 pagi selepas diberitahu mangsa dalam keadaan baik.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) EMRS Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lalu di Insitut Jantung Negara (IJN).

Prosiding di hadapan Koroner Rofiah Mohamad.

–HarianMetro

Leave a Reply