M Update, 8/3/2019 – Bermula sekadar menemani bapanya ke lapang sasar untuk menembak kemudian timbul minat dalam dirinya untuk berlatih menggunakan senjata api seterusnya menjadi penembak profesional.
Selepas lebih lima tahun menceburkan diri dalam sukan menembak ekstrem kendalian Konfiderasi Latihan Menembak Antarabangsa (IPSC), Izad Zainal Muhammad Safian, 31, kini setanding dengan atlet handalan IPSC lain apabila berjaya menempatkan diri dalam kelompok penembak terbaik sukan itu.
Anak kelahiran Permatang Badak, Kuantan itu berkata, dia meminati sukan ekstrem itu kerana memberikan cabaran berbeza untuknya.
Berbanding sukan menembak yang biasa dipertandingkan di peringkat Olimpik, disiplin IPSC menuntut atlet menembak dalam keadaan pantas, tepat serta menggunakan banyak pergerakan fizikal.
IPSC menuntut penembak melepaskan tembakan dalam keadaan mencabar selain perlu bersaing untuk mendapatkan masa terpantas.
Anak keempat daripada enam beradik itu berkata, pencapaian terbaiknya dalam sukan itu adalah ketika menduduki tempat pertama bagi kategori D (penembak baru IPSC) pada kejohanan terbuka PDRM di Ulu Kinta, Ipoh, Perak.
Dia berjaya menewaskan beberapa penembak handalan dalam kalangan pegawai dan anggota pasukan bersenjata seperti Pasukan Khas Laut (PASKAL) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Unit Tindakan Khas (UTK), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam kejohanan dianjurkan tahun lalu.
Buat masa ini sukan ini belum popular dalam kalangan orang awam, ia lebih didominasi PASKAL dan UTK yang mempunyai kemudahan latihan terbaik.
Walaupun memperuntukkan masa yang sangat terhad untuk berlatih disebabkan kekangan tugas sebagai Pegawai Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), namun ia tidak menghalang minatnya untuk menyertai kejohanan dianjurkan.
Dia yang bernaung di bawah Persatuan Menembak Negeri Pahang berkata, pembahagian masa untuk berlatih dan bekerja perlu seiring bagi memastikan prestasinya berada di tahap yang terbaik.
Beliau yang sudah menyertai lapan kejohanan IPSC sejak tiga tahun lalu mensasarkan menyertai kejohanan di peringkat antarabangsa bagi membuktikan keupayaan dan latihan yang sudah dijalani selama ini.
Izad Zainal dijangka menyertai kejohanan menembak IPSC Iskandar Shoot 2019 di Kota Tinggi, Johor, April ini yang akan disertai penembak IPSC di rantau Asia Tenggara dan Asia.
Sumber : Harian Metro