M Update, 11/3/2019 – Siapa beliau??? Jangan kita pandang orang sebelah mata lebih-lebih lagi seorang lelaki tua yang nampak seperti tidak tahu apa-apa tapi percayalah beliau mempunyai kisah dan pengalaman hebat yang tersendiri.
Orangnya kurus tinggi. Sekali imbas tidak ada sebarang keistimewaan pada lelaki berusia lebih separuh abad ini.
Namun tak ramai tahu, lelaki tua berjanggut putih ini mempunyai kisah yang tercatit kemas dalam sejarah perjuangan negara dalam era penentangan gerila komunis.
Pegawai Waran 2 (B) Mahmor Said, anak jati Johor ini sebenarnya adalah antara anak muda terawal yang terpilih untuk menjadi seorang anggota komando dalam Angkatan Tentera Malaysia.
Beliau mendapat latihan asas komando daripada Rejimen 40 Komando British yang berpangkalan di Kem Majidee pada tahun 1965.
Setelah berjaya terpilih, beliau diserap ke pasukan komando yang ketika itu dikenali sebagai Malaysia Special Service Unit (MSSU).
Kisah kehebatan Mahmor menjadi sebutan apabila beliau dan sekumpulan anggota komando telah diarahkan ke Kompleks Gunung Gading, Lundu Sarawak pada pagi 3 Mac 1967.
Mereka ketika itu ditugaskan memburu sekumpulan lapan hingga 15 pengganas Pasukan Gerila Rakyat Sarawak (PGRS).
Segalanya bermula pada satu tengah hari rembang ketika beliau sedang membancuh teh tarik untuk diminum bersama-sama rakannya di khemah rehat mereka di kawasan gunung tersebut.
Sedang asyik menarik teh, tiba-tiba beliau mendengar daun kering dipijak orang.
Sangkaan Mahmor itu adalah bunyi rakan-rakannya yang pulang dari meronda. Tetapi tidak pasti siapa dan dari kumpulan mana kerana pandangannya terhalang oleh sebatang pohon rimbun.
Alangkah terkejutnya beliau apabila kemudian ternampak segerombolan musuh sedang berjalan laju hanya kira-kira lapan meter di depannya.
Seorang pengganas lelaki yang berada di depan sekali tergamam sebaik sahaja terpandang Mahmor tercegat di depannya dan berhenti secara tiba-tiba.
Disebabkan musuh masih lagi tergamam, Mahmor lantas bertindak dengan melompat segera ke arah senjatanya, kira-kira enam meter dari tempat beliau berdiri.
Baginya musuh mesti ditumbangkan terlebih dahulu sebelum bertindak mengambil perlindungan.
” Sebaik sahaja senjata dicapai, saya terus angkat ke aras pinggang dan mencekahnya. Kemudian saya tolak kunci selamat senjata ke automatik dan terus memuntahkan peluru,” katanya.
Tembakan 30 butir peluru 7.62 mm dari kelopak pertama berjaya mencederakan empat atau lima musuh.
Melihatkan mereka masih bergerak di samping ada yang sempat membuat tembakan balas, Mahmor segera mengambil kelopak dari pouches miliknya.
Tiga puluh butir lagi ditembak dan diikuti kelopak ketiga yang mempunyai kira-kira 25 butir peluru.
Mahmor betul-betul melepaskan geramnya terhadap musuh negara itu.
Satu demi satu pengganas rebah. Segala-galanya berlaku dengan pantas dan tidak sampai tiga minit.
Pada masa yang sama, beliau tidak sedar sebutir peluru musuh nyaris membunuhnya apabila ia singgah pada sebatang pokok kecil kira-kira sejengkal darinya.
” Selesai menembak, baru saya perasan yang pokok sebesar ibu jari itu patah akibat terkena tembakan musuh,” katanya.
Sebaik pertempuran selesai, Mahmor dan beberapa rakan yang tiba ke situ tidak berapa lama kemudian membuat operasi penggeledahan.
Malam itu, Mahmor dan rakan-rakannya terpaksa bermalam dengan mayat-mayat tersebut.
Esoknya, barulah mereka keluar dari kawasan operasi menggunakan helikopter.
Kejayaan anggota komando ini menewaskan musuh pada usia 25 tahun bukan sahaja membuktikan kehebatannya, tetapi turut melakar tiga sejarah penting kepada Regimen Gerak Khas (RGK).
Pertamanya, beliau menjadi anggota RGK yang pertama berjaya membunuh pengganas sejak rejimen itu ditubuhkan pada tahun 1965.
Keduanya, jumlah musuh yang dibunuh adalah yang teramai pernah dilakukan oleh seorang anggota komando dalam satu operasi dan rekod itu belum dipecahkan sehingga kini.
Di samping itu, anak keempat dari 12 orang adik-beradik ini turut memegang rekod berjaya membunuh tujuh musuh dalam tempoh yang singkat selain hanya memerlukan 85 butir peluru sahaja untuk berbuat demikian – satu kejayaan yang cukup membanggakan pasukan elit berkenaan.
Ekoran sifat keberanian serta kebolehannya itu, beliau telah dianugerahkan pingat Panglima Gagah Berani (PGB) oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Al-Sultan Ismail Nasaruddin Shah Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin pada 5 Jun 1968.
Malah kisah beliau turut tercatat dalam buku ‘Demi Negara’ tulisan bekas Setiausaha Akhbar Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Akmar Hisham Mokhles.
Kerana kecemerlangannya dalam melaksanakan tugas juga, Mahmor akhirnya berjaya menjawat pangkat Pegawai Waran II setelah berkhidmat selama 21 tahun dalam RGK.
” Kita dilatih untuk memusnahkan musuh, jadi istilah takut itu tak timbul. Alhamdulillah, lepas peristiwa itu tak adalah orang kata kena badi ke apa ke. Cuma saya ada langkah dan sepak sedikit mayat komunis tu, kata orang untuk elak badi, sambil berkata kau ni menyusahkan orang sahaja,” katanya sambil tersenyum.
Sumber : Malaysia Gazette.