M Update, 2/4/2019 – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menzahirkan rasa bimbang dengan tindakan pihak tertentu yang berani menyentuh kesucian agama Islam di samping memperlekehkan institusi diraja.
Pelbagai perkara yang berlaku di negara ini akhir-akhir ini seolah-olah menggambarkan wujudnya golongan yang mahu menggugat keharmonian, keamanan dan kestabilan yang telah terbina sekian lama di Malaysia.
Ada pihak yang berani melakukan perkara-perkara yang menyentuh kesucian agama Islam, memperlekehkan institusi diraja dan banyak lagi perkara yang berpotensi mengakibatkan kejadian yang tidak diingini berlaku.
“Beta selaku ketua agama di negeri Terengganu mahu pihak yang berkenaan mengambil langkah berjaga-jaga supaya perkara-perkara seperti itu tidak menular di negeri ini,”
Sultan Mizan bertitah, kerajaan negeri yang diterajui Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar perlu terus komited memartabatkan agama dan umat Islam menerusi gerak kerja profesional bagi menangkis sebarang fitnah dan tuduhan jahat sekali gus membuktikan kemampuan sebenar sistem Islam sebagai al-Din.
Baginda turut menyatakan rasa sukacita kerana kepemimpinan Ahmad Samsuri berjaya mengamalkan budaya matang dan sejahtera sekali gus mewujudkan semangat perpaduan dan kekitaan dalam kalangan wakil rakyat dengan masyarakat tanpa mengira mana-mana parti ke arah menjadikan Terengganu sebagai negeri paling harmoni di Malaysia.
Sumber : Utusan Malaysia