M Update, 09/04/2019 – Mahkamah Amerika Syarikat menggantung dasar pentadbiran Presiden Donald Trump berhubung penghantaran pulang sebahagian pemohon suaka ke sempadan selatan negara itu untuk menunggu kes mereka di Mexico.
Ia sekali gus menyekat program yang dirancang digunakan kerajaan untuk membendung kebanjiran pendatang.
Perintah itu akan berkuat kuasa Jumaat ini, menurut arahan dikeluarkan Hakim Richard Seeborg di San Francisco.
Injuksi awal akan dilaksanakan di seluruh negara.
Program itu dilancarkan Januari lalu dan adalah satu daripada banyak dasar bertujuan mengurangkan pertambahan pendatang yang tiba di sempadan, kebanyakannya adalah keluarga dari Amerika Tengah, yang meningkat bulan lalu ke paras tertinggi dalam sedekad.
Disebabkan had mengenai berapa lama kanak-kanak dibenarkan ditahan secara sah, ramai keluarga dibebaskan sementara menanti perbicaraan mahkamah imigresen AS, proses yang boleh mengambil masa bertahun-tahun kerana bebanan tugas.
Pentadbiran Trump berkata minggu lalu, ia bercadang meluaskan program penghantaran balik pendatang untuk menunggu tarikh mahkamah AS di bandar raya sempadan Mexico, menurut dasar dikenali sebagai Protokol Perlindungan Pendatang (MPP). — Reuters