M Update, 15/4/2019 – Kementerian Luar membantah sekeras-kerasnya tindakan Kerajaan Amerika Syarikat (AS) menyenaraikan Malaysia sebagai negara yang ditanda ‘K’, iaitu mempunyai risiko penculikan dan dijadikan tebusan.
Perkara itu diumumkan melalui Travel Advisory (Nasihat Perjalanan) baharu yang dikeluarkan Jabatan Negara AS pada Selasa lalu dengan Malaysia ditandakan sebagai ‘K’. Menerusi laman Nasihat Perjalanan ke Malaysia dalam laman web Jabatan Negara AS itu, warga negaranya dinasihatkan mengambil langkah berjaga-jaga jika mahu melancong ke Malaysia, terutama ke pantai timur Sabah yang dikatakan berisiko berlaku penculikan.
Bagaimanapun, Kementerian Luar dalam satu kenyataan, menyangkal perkara itu dan menegaskan bahawa Nasihat Perjalanan baharu itu tidak menunjukkan realiti sebenar, terutama situasi keselamatan di timur Sabah. Keadaan keselamatan di Sabah adalah terjamin dan ia selamat untuk dikunjungi oleh pelancong. Buktinya, jumlah pelancong yang mengunjungi Sabah pada tahun lalu meningkat sebanyak 5.5 peratus mencecah 3.87 juta orang.
Dalam pada itu, kes penculikan (pelancong) juga menurun serta boleh dianggap tidak lagi berlaku, dan timur Sabah terus menarik kunjungan penyelam bertaraf dunia,” katanya. Menurut kenyataan itu lagi, kejayaan berkenaan adalah hasil tindakan proaktif diambil Kerajaan Malaysia untuk meningkatkan tahap keselamatan di kawasan terbabit. Ini termasuk peningkatan jumlah rondaan, menjalinkan kerjasama rapat dengan negara jiran berhubung isu kawalan keselamatan serta meletakkan aset keselamatan di lokasi strategik.
Berdasarkan fakta ini, kita menggesa Kerajaan AS supaya bersikap lebih objektif dalam penilaian, seterusnya mengeluarkan Malaysia daripada senarai ‘K’, katanya. Selain Malaysia, Afghanistan, Bangladesh, Cameroon, Afrika Tengah, Colombia, Ethiopia, Haiti, Iran, Iraq, Kenya, Mexico, Nigeria, Pakistan, Filipina, Syria, Trinidad dan Tobago, Turki, Uganda, Ukraine (di timur Ukraine yang dikuasai Russia) dan Yaman turut berada dalam senarai ‘K’ berkenaan. – BH Online