M Update, 19/04/2019 – Wakil khas Amerika Syarikat untuk proses kedamaian di Afghanistan meluahkan kekecewaan hari ini selepas pertemuan yang dirancang antara Taliban dan sekumpulan ahli politik di Qatar tidak berjaya, mendedahkan perpecahan mendalam yang menggagalkan usaha menamatkan perang.
Delegasi seramai 250 ahli politik Afghanistan dan tokoh sivil dijangka bertemu pegawai Taliban di Doha hujung minggu ini.
Majlis itu dibatalkan semalam di tengah perbalahan berhubung saiz dan status kumpulan itu, yang termasuk beberapa pegawai kerajaan yang menghadirinya atas kapasiti peribadi.
“Saya kecewa inisiatif intra-Afghanistan di Qatar ditangguhkan.
“Saya menggesa semua pihak mengambil peluang ini dan kembali ke matlamat asal dengan bersetuju dengan semua senarai peserta yang bercakap bagi pihak rakyat negara itu,” kata Zalmay Khalilzad, di Twitter.
Kegagalan mesyuarat itu sebelum ia bermula, digambarkan sebagai ‘bencan’ oleh seorang pegawai kanan Barat, menunjukkan ketegangan yang menggagalkan langkah ke arah membuka rundingan damai rasmi.
Khalilzad, diplomat veteran kelahiran Afghanistan, mengadakan siri pertemuan dengan wakil Taliban tetapi militan enggan berunding dengan kerajaan disokong Barat di Kabul, yang dianggap mereka sebagai rejim ‘boneka’.
Mesyuarat di Doha bertujuan menyediakan asas bagi rundingan masa depan dengan membina kebiasaan dalam kalangan pegawai Taliban dan wakil negara Afghanistan yang ditubuhkan selepas kempen diketuai AS menumbangkan pemerintahan Taliban pada 2001. — Reuters