M Update, 02/05/2019 – Kerajaan Thailand sedang bersiap sedia untuk majlis pertabalan Raja Maha Vajiralongkorn, yang bakal berlangsung mulai Sabtu ini, mengikut upacara keagamaan Hindu dan Buddha.
Majlis pertabalan pada 4 Mei hingga 6 Mei itu diadakan selepas lebih dua tahun kemangkatan ayahandanya, Raja Bhumibol Adulyadej pada Oktober 2016.
Mendiang Raja Bhumibol Adulyadej memegang takhta diraja Thailand selama lebih 70 tahun dan sering dianggap sebagai simbol perpaduan, terutama ketika negara itu berdepan masalah politik.
Namun, anak lelaki tunggalnya yang berusia 66 tahun dan digelar sebagai Raja Rama X bagi dinasti Chakri, sebelum ini kurang dikenali dalam kalangan rakyat, kerana sering menghabiskan masanya di luar negara.
Upacara pertabalan pada Sabtu ini bermula pada jam 10.09 pagi (waktu tempatan) dan rakyat diberi peluang untuk menyaksikan majlis yang diadakan selama tiga hari berkenaan menerusi televisyen.
Ia bermula dengan acara ‘pembersihan’ Raja Maha Vajiralongkorn menggunakan air yang diperoleh dari tasik dan sungai terpilih, diikuti dengan penyerahan ‘air suci’ oleh ketua sami Buddha dan ketua Brahmin.
Kemudian, beliau akan duduk di bawah payung setinggi sembilan tingkat di Istana Utama, dan menerima mahkota diraja bertatah berlian, sebelum mengeluarkan perintah diraja yang pertama.
“Upacara itu adalah satu simbolik bagi menaik taraf kedudukan raja dari manusia kepada tuhan,” kata penyelidik upacara diraja, Tongthong Chandransu.
Pada hari berikutnya, rakyat Thailand yang tidak berpeluang menyaksikan majlis pertabalan Raja Bhumibol pada 1950, dapat melihat raja yang baharu ditabalkan, apabila beliau diarak sejauh tujuh kilometer di tengah bandar raya Bangkok.
“Saya amat teruja, kerana upacara amat jarang berlaku, semua pihak menghormati monarki, ia adalah tonggak rohani rakyat Thailand,” kata pelajar, Surasak Nantaket, 20, kepada AFP.
Menurut timbalan perdana menteri, Kerajaan Thailand memperuntukkan sebanyak 1 bilion baht (RM129.26 juta) bagi membiayai kos majlis pertabalan terbabit. – AFP