M Update, 14/05/2019 – Pertembungan meletus antara pelajar Iran di Universiti Tehran semalam ketika bantahan ke atas penguatkuasaan pemakaian hijab di institusi itu, lapor media.
“Pelajar berhimpun mengadakan bantahan, mendakwa polis moral dan pasukan keselamatan memasuki universiti untuk memberi amaran kepada pelajar supaya tidak gagal mematuhi pemakaian wajib tudung kepala,” kata agensi berita separa rasmi ISNA.
ISNA melaporkan, seorang naib presiden yang bertanggungjawab dalam hal ehwal budaya universiti itu, Majid Sarsangi cuba bercakap dengan pelajar namun ‘dihalang secara fizikal’ daripada berbuat demikian.
Sarsangi menafikan mana-mana pasukan polis atau keselamatan memasuki perkarangan universiti itu.
Namun katanya, dua kumpulan pelajar yang membuat bantahan bertembung antara satu sama lain sambil satu lagi cuba menenangkan pelajar yang berang.
ISNA menerbitkan kenyataan oleh pelajar yang membantah kaedah penguatkuasaan dikenakan ke atas pelajar wanita iaitu ‘pemeriksaan ketat ketika memasuki universiti.’
“Pelaksanaan sejenis pakaian ke atas pelajar adalah pelanggaran langsung hak asasi manusia mereka,” kata kenyataan.
Agensi berita Fars berkata, kekecohan meletus antara penunjuk perasaan dan pelajar lain yang menyokong penguatkuasaan pemakaian hijab apabila penunjuk perasaan mula berarak dalam premis dan melaungkan apa yang dikatakan ‘slogan melanggar undang-undang.’
Tiada laporan kematian atau tangkapan. Susulan revolusi Islam 1979, pemakaian wajib tudung kepala dikuatkuasakan di seluruh Iran dengan wanita dipaksa memakai pakaian sopan dan menutup aurat.
Setiap tahun sepanjang Ramadan, pihak berkuasa menguatkuasakan dengan ketat kod pemakaian mengikut syariah. -AFP