M Update, 23/05/2019 – Seorang lelaki Australia mendera secara seksual puluhan budak lelaki, sesetengah mangsa berusia semuda 10 tahun ketika bekerja di republik ini dari tahun 2000 hingga 2017.
Dilabel sebagai pesalah seks paling teruk Australia, Boris Kunsevitsky, 52, berkunjung ke Asia Tenggara dan mengeksploitasi sekurang-kurangnya 47 budak lelaki termasuk sesetengah di republik ini.
Dia mengambil lebih 3,300 gambar dan video dirinya melakukan hubungan seksual dengan sekurang-kurangnya 25 mangsa dan mengedarkannya dalam talian. Mangsa berusia antara 10 hingga 15 tahun, majoritinya hidup dalam kemiskinan di Filipina.
Jumlah sebenar mangsanya di republik ini tidak diketahui dengan mangsa lain termasuk seorang budak lelaki di Indonesia dan seorang lagi di Australia.
Kelmarin, Kunsevitsky mengaku bersalah terhadap pertuduhan panjang termasuk 25 kesalahan melakukan hubungan seks dengan kanak-kanak di luar Australia dan 12 kesalahan memaksa kanak-kanak melakukan hubungan seks dengan kanak-kanak lain.
Mahkamah Tinggi Victoria di Melbourne difahamkan, tertuduh kerap melakukan kunjungan ke luar negara dan melakukan jenayah itu ke atas mangsanya.
Kunsevitsky lahir di Russia dan berpindah ke Australia ketika berusia 12 tahun. Laman web akhbar Melbourne, The Age melaporkan, republik ini menjadi ‘rumah angkatnya.’
Mahkamah dimaklumkan, polis Jerman memulakan siasatan selepas mendapati video Kunsevitsky diedarkan dalam talian.
Polis Jerman kemudian memaklumkan pihak berkuasa Australia yang mula menyiasat lelaki itu pada 2016 ketika dia berada di Singapura.
Mereka menahan lelaki itu selepas menemui bahan eksploitasi kanak-kanak dalam telefon bimbitnya ketika kembali semula ke Melbourne untuk melawat keluarganya pada 2017.
Pekerjaan terakhir Kunsevitsky di republik ini adalah pengarah teknikal syarikat produk estetik, Esthemedica, yang disertai pada November 2014.
Seorang jurucakap syarikat memberitahu akhbar The New Paper, hubungan kerja mereka sejak itu terputus.
Ketika dihubungi kelmarin, polis republik ini berkata, mereka berhubung dengan pihak berkuasa Australia dan akan ‘memberi bantuan diperlukan mengikut undang-undang tempatan dan antarabangsa.’ -Agensi