M Update, 30/05/2019 – Tentera Myanmar bersalah melakukan ‘jenayah perang’ baru, pembunuhan tidak adil dan penyeksaan dalam memerangi pemberontak etnik Rakhine, kata Amnesty International, hari ini.
Beribu-ribu tentera dan jentera perang sudah ditempatkan di seluruh Rakhine utara dalam beberapa bulan ini, terutama di kawasan pemberontak Tentera Arakan (AA) yang berjuang untuk pembebasan etnik Rakhine negara itu.
Negeri itu juga menyaksikan tentera bersikap kejam terhadap etnik Islam Rohingya pada 2017. Tindakan itu menyebabkan kira-kira 740,000 orang etnik Rohingya melarikan diri ke Bangladesh daripada kekejaman yang disifatkan penyiasat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai waran daripada jeneral tertinggi tentera untuk melakukan pembunuhan beramai-ramai.
Amensty berkata, ia mempunyai ‘bukti baru’ bahawa tentera Myanmar ketika ini sedang melakukan jenayah perang dan beberapa pelanggaran hak asasi manusia terhadap etnik Rakhine, dengan menyenaraikan pembunuhan tanpa pengadilan, penahanan sewenang-wenangnya, penyeksaan dan peraturan yang tidak dikuatkuasakan.
Laluan masuk ke kawasan konflik itu juga sangat terhad tetapi butiran berlaku kematian orang awam dikesan sejak beberapa minggu dan bulan lalu.
Bagaimanapun tentera mengesahkan mereka menembak mati enam orang tahanan akhir bulan lalu di kampung Kyauk Tan.
Laporan yang dibuat Amnesty adalah berdasarkan beberapa wawancara dengan orang ramai daripada pelbagai kumpulan etnik, gambar, video dan imej satelit.
Pertubuhan itu mencatatkan tujuh serangan yang menyalahi undang-undang yang menyebabkan kematian 14 orang awam dan beberapa yang lain cedera akibat serangan unit bersenjata yang dikerah untuk memerangi etnik Rakhine.
Beberapa orang entik Islam Rohingya yang tinggal di kawasan itu juga turut terbunuh.
“Operasi baru di negeri Rakhine menunjukkan tentera mengganas kepada orang yang tidak bersalah, tidak berubah dan jumlah keganasan yang tidak dapat dihitung,” kata pengarah serantau, Nicholas Bequelin. – AFP