M Update, 28/6/2019 – Dasar Pembangunan Luar Bandar (DPLB) 2030 yang dilancarkan semalam menyediakan kerangka hala tuju pembangunan luar bandar ke arah menuju negara maju dan berpendapatan tinggi berteraskan tiga prinsip utama.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun, berkata tiga prinsip itu ialah kemapanan, inklusif dan holistik yang setiap satunya merangkumi asas kelangsungan kesejahteraan hidup, keseimbangan dan pelbagai dimensi. Katanya, penggubalan DPLB dibuat dengan merujuk kepada dasar semasa termasuk Dasar Perancangan Fizikal Desa Negara 2030, Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11), Pelan Harapan Pembangunan Luar Bandar 2018-2023 dan Agenda Matlamat Pembangunan Mapan 2030.
DPLB digubal meliputi dua rancangan lima tahun negara iaitu RMK12 (2021-2025) dan RMK13 (2026-2030),” katanya pada Majlis Pelancaran DPLB 2030 yang disempurnakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di sini, hari ini. Rina berkata, tiga prinsip utama DPLB sangat penting bagi merangka kesinambungan pembangunan masyarakat luar b andar sejahtera, inklusif dan mapan, selain menjadikan luar bandar menarik dan kondusif sebagai tempat tinggal, bekerja dan pelaburan.
Selain itu, meningkatkan pembabitan aktif masyarakat luar bandar dalam menghadapi cabaran Revolusi Industri Keempat (IR 4.0) dan persekitaran global yang semakin mencabar, di samping merapatkan jurang ketidakseimbangan pembangunan penduduk bandar, luar bandar dan wilayah,” katanya. Rina berkata, DPLB menggariskan 10 teras, 33 pernyataan dasar dan 88 strategi yang akan dilaksanakan hingga 2030.
Katanya, 10 teras itu ialah ekonomi berdaya saing dan mapan, keusahawanan pemacu pembangunan ekonomi, modal insan berkualiti, prasarana lengkap dan canggih, keunggulan generasi belia luar bandar serta wanita luar bandar yang progresif. Teras lain, katanya, ialah kehidupan luar bandar yang sejahtera, sistem penyampaian dan tadbir urus berkesan, biodiversiti dan alam sekitar mapan serta perumahan, pembangunan wilayah dan penempatan desa bersepadu.
DPLB akan terus menggunapakai visi ‘Luar Bandar Sejahtera’ yang telah saya ilhamkan sejak setahun lalu tanpa mengira latar belakang, bangsa, agama, status sosial, gender dan umur,” katanya. Visi ‘Luar Bandar Sejahtera’ juga menyasarkan pembangunan mapan yang akan memastikan pembangunan berimbang dan saling melengkapi antara aspek sosial, ekonomi dan alam semulajadi,” kata kementerian itu.
Beberapa program ke arah mencapai visi ‘Luar Bandar Sejahtera’ telah dimulakan antaranya Program Desa Harapan, iaitu kerjasama dengan pihak swasta dalam membangunkan sesebuah kampung dari aspek ekonomi, keusahawanan, modal insan dan alam sekitar.
Sumber : BH Online