M Update, 03/09/2019 – Seorang guru di sebuah sekolah tinggi di Mexico dikritik selepas memaksa pelajarnya memakai kotak di kepala ketika peperiksaan bagi mengelak mereka daripada meniru.
Luis Juarez Texis yang mengajar di Kolej Bachelors di Tlaxcala dituduh memalukan dan melanggar hak asasi pelajarnya selepas gambarnya mengawasi kumpulan pelajar yang memakai kotak di kepala menjadi tular.
Ibu bapa pelajar memuat naik gambar itu di media sosial dan menggesa jabatan pelajaran untuk memecat Texis.
Gambar pelajar memakai kotak itu dengan lubang yang membolehkan mereka melihat di depan dikongsi beribu-ribu kali di media sosial pada minggu lalu dan turut dilaporkan di media perdana.
Bagaimanapun, kebanyakan pengguna media sosial tidak mengecam guru berkenaan sebaliknya mereka mengucapkan tahniah kerana dia menemui cara efektif untuk mengelak pelajar menipu.
“Tugas yang baik cikgu. Ini tidak menjejaskan pelajar, malah ibu bapa patut bimbang mengenai pengajian anak mereka daripada kotak yang memberi pengajaran yang baik,” kata seorang pengguna media sosial.