M Update, 27/9/2019 – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menghormati keputusan AR Badul yang mahu inkues diadakan bagi mencari punca kematian anaknya, Mej Mohd Zahir Armaya.
Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jen Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin berkata permohonan itu merupakan hak peribadi pelakon serta pelawak veteran itu, Badul atau nama penuhnya, Armaya Aman Ramlie.
“Kita kena hormati apa sahaja yang beliau kehendaki, kita menunggu proses seterusnya,” katanya.
Menjelas lanjut, Zulkifli berkata selepas kesemua urusan dan keputusan muktamad diperoleh, pihaknya akan memanggil keluarga Allahyarham Mohd Zahir untuk diberi penerangan terperinci.
“Kita kena tunggu apabila semua dah selesai. Kita bukan saja tidak maklum malah sentiasa berhubung dan lawatan dibuat hampir setiap hari kepada keluarga arwah,” katanya yang yakin TDM akan mengambil tindakan sewajarnya.
Semalam, Badul dan ahli keluarganya tidak berpuas hati dengan kronologi sebenar kematian anaknya itu dan mahu inkues dijalankan bagi mencari punca kematian pegawai komando tersebut. TDM juga telah mengesahkan insiden kematian pegawai komando itu sebagai satu kemalangan dalam latihan dan keputusan berkenaan dibuat oleh Lembaga Siasatan TDM yang mendapati insiden itu diklasifikasikan sebagai kejadian terpencil.
Terdahulu, Zulkifli dalam ucapannya mahu kesemua anggota ATM sentiasa menjaga nama baik organisasi sebagai institusi terhormat terutama dengan ledakan teknologi komunikasi tanpa sempadan termasuk kemunculan media sosial.
“Saya khuatir, sekiranya tidak dikawal, ia boleh mengakibatkan kritikan, tohmahan dan fitnah yang akan menggugat keyakinan rakyat dan akhirnya melemahkan ATM,” katanya.
Sempena Hari ATM ke-86, satu karnival turut berlangsung selama dua hari mulai esok di Pangkalan TLDM di sini dengan pelbagai acara menarik disediakan antaranya pertunjukan aset ketenteraan manakala masuk adalah percuma. — BERNAMA