M Update, 27/09/2019 – Seorang pelajar maut hari ini ketika ribuan orang mengadakan perhimpunan di seluruh Indonesia untuk membantah beberapa kod jenayah yang akan diperbaharui kerajaan serta bagi melemahkan agensi pencegah rasuah.
Mangsa berusia 21 tahun itu dihantar ke hospital selepas cedera di dada sebelum dilaporkan meninggal dunia.
Berita mendakwa mangsa maut akibat ditembak tersebar di media sosial dan polis menafikan menyebabkan kematiannya.
“Mangsa cedera di dada kanan, namun puncanya belum dikenal pasti. Dia dihantar ke hospital dan doktor sudah berusaha menyelamatkannya,” kata jurucakap polis Sulawesi Tenggara, Harry Golden Hart kepada Metro TV.
Beliau menegaskan anggota polis bertugas tidak membawa peluru hidup mahupun yang getah.
Ketika kejadian, rusuhan berlaku di bandar Kendari, Sulawesi dan pembantah membakar bangunan kerajaan.
Kematian pelajar itu tragedi pertama perhimpunan yang turut menyebabkan ratusan orang cedera.
Rusuhan di Indonesia tercetus susulan cadangan rang undang-undang yang termasuk mengharamkan seks di luar nikah dan larangan jualan alat pencegah kehamilan.
Perhimpunan itu antara yang terbesar selepas bantahan besar-besaran pada 1998 yang menjatuhkan pemerintahan bekas presiden Soeharto selama tiga dekad.