M Update, 08/11/2019 – Seorang pelajar Hong Kong yang terjatuh di sebuah tempat letak kereta ketika polis dan penunjuk perasaan bertempur minggu lalu disahkan meninggal dunia, kata pegawai hospital hari ini.
Penuntut jurusan Sains Komputer, Universiti Sains dan Teknologi Hong Kong, Alex Chow, 22 disahkan meninggal dunia pada jam 8.09 pagi tadi, kata Hospital Queen Elizabeth.
Pada awal pagi Isnin lalu, Chow dibawa ke hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri selepas terbabit dalam pertempuran antara polis dan penunjuk perasaan.
Mangsa ditemui terbaring berlumuran darah di sebuah tempat letak kereta ketika polis melepaskan gas pemedih mata ke arah penunjuk perasaan yang melempar objek daripada bangunan berkenaan.
Penunjuk perasaan mendakwa Chow terjatuh selepas terpaksa memanjat belebas tempat letak kereta bertingkat itu ketika cuba melarikan diri dari gas pemedih mata polis.
Polis mengaku menggunakan gas pemedih mata untuk menyuraikan penunjuk perasaan namun menafikan dakwaan melengahkan pegawai perubatan untuk merawat pelajar terbabit.
Sejak Jun lalu, Hong Kong dibelenggu protes prodemokrasi ganas yang menuntut kebebasan demokrasi yang lebih meluas dan siasatan ke atas penindasan polis. – AFP