M Update, 26/12/2019 – Gerhana matahari Anulus atau ‘cincin’ akan dapat dilihat secara tepat di Tanjung Piai, Johor dan di Serian, Sarawak hari ini.
Pengarah Planetarium Negara, Anita Bahari dalam kenyataannya sebelum ini berkata, ia hanya akan berlaku di dua kawasan berkenaan kerana pada ketika itu kedudukan bulan, bumi dan matahari adalah selari.
“Tempoh gerhana akan berlaku bermula jam 1.21 tengah hari hingga 1.23 tengah hari di Tanjung Piai, manakala di Serian pula, fenomena astronomi itu akan berlaku dalam tempoh kira-kira empat minit bermula 1.46 tengah hari hingga 1.50 tengah hari.
“Gerhana ini pernah terjadi 21 tahun dahulu iaitu pada 22 Ogos 1998 di Mersing, Johor dan jika terlepas peluang ini, kita harus menunggu 22 tahun lagi,” katanya.
Sementara itu, orang ramai di seluruh negara pula turut berpeluang menyaksikan gerhana matahari separa. Bagaimanapun, menurut maklumat yang dikongsikan Persatuan Falak Syarie Malaysia, waktu bermula gerhana itu adalah berbeza di sesuatu kawasan.
Contohnya, di Langkawi, Kedah waktu gerhana bermula pada jam 11.14 pagi, manakala Kangar, Alor Setar dan Georgetown, masing-masing pada 11.15 pagi. Kawasan Ipoh, ia bermula jam 11.18 pagi; Shah Alam (11.19 pagi), manakala Kuala Lumpur, Seremban dan Putrajaya, masing-masing pada 11.20 pagi.
Di Kota Bharu, waktu gerhana bermula pada 11.21 pagi; Melaka (11.22 pagi) ; Kuala Terengganu (11.23 pagi); Kuantan (11.24 pagi) serta Johor Bahru dan Mersing masing-masing pada 11.26 pagi.
Di Kuching, Sarawak, waktu gerhana itu akan bermula pada 11.48; Sarikei (11.52 pagi) ; Miri (12.01 tengah hari), manakala Kota Kinabalu, Sabah pula akan bermula 12.09 tengah hari dan Kudat, 12.12 tengah hari.
“Di ibu negara, waktu gerhana akan mencapai tahap maksimum adalah pada 1.14 tengah hari dan berakhir sepenuhnya pada jam 3.11 petang.
Jadi, jangan lepaskan peluang menyaksikan fenomena menarik yang juga menjadi tanda kebesaran Allah SWT dan pastikan menggunakan alat penuras solar untuk menjaga keselamatan mata. Selain itu, solat sunat gerhana matahari (solat kusuf) juga digalakkan dianjurkan di masjid dan surau di seluruh negara, ” kata persatuan itu.